Seorang lagi ahli Bersatu Johor sertai Umno


Adun Larkin, Izhar Ahmad menyatakan keputusan keluar daripada Bersatu adalah keputusannya sendiri tanpa didorong mana-mana pihak. – Gambar Facebook, 29 Januari, 2022.

ADUN Larkin Izhar Ahmad hari ini memutuskan untuk keluar daripada Bersatu dan menyertai Umno.

Izhar memberitahu sidang akhbar beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Johor yang dimenanginya pada 2018 apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tidak lama lagi tetapi akan menyokong kempen Barisan Nasional.

“Bukan mudah untuk membuat keputusan ini tetapi saya rasa Bersatu sudah hilang hala tuju.”

“Presiden (Muhyiddin Yassin) gagal membawa parti ke satu tahap lebih tinggi dan tidak menambah baik parti,” kata Izhar dilapor oleh pelbagai media pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

“BN boleh memperbetulkan keadaan, ia satu-satunya parti yang boleh menyatukan rakyat di bawah satu panji-panji,” katanya sambil menggesa pengundi Larkin menyokong gabungan pimpinan Umno itu.

Beliau sebelum ini pengerusi jawatankuasa pelaburan negeri, koperasi, pembangunan keusahawanan dan sumber manusia.

Sebelum peletakan jawatan Izhar, bekas Ketua Bersatu Johor dan bekas Exco kerajaan negeri Mazlan Bujang juga meninggalkan parti minggu lalu.

Mazlan, pengerusi jawatankuasa pendidikan, penerangan, warisan dan kebudayaan negeri sebelum DUN Johor dibubarkan pada Sabtu, berkata beliau adalah Adun bebas yang menyokong BN.

Rakyat Johor akan keluar mengundi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri. Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 9 Februari untuk menetapkan tarikh.

PRN itu diadakan demi “kestabilan politik”, menurut Umno yang mengetuai kerajaan negeri dengan majoriti satu kerusi.

Pada 2019, Izhar mencetus spekulasi untuk meninggalkan Bersatu dan menjadi Adun bebas tetapi beliau menafikan dakwaan pada masa itu.

Izhar hari ini berkata, beliau tidak tahu sama ada lebih ramai Adun Bersatu akan keluar parti.

“Ini keputusan saya sendiri. Seperti Mazlan, saya buat keputusan sendiri,” katanya.

Mazlan, ketika mengumumkan keluar daripada Bersatu minggu lalu berkata, lebih ramai ahli bahagian Tebrau juga akan mengikut jejak langkahnya keluar parti. – 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen