Presiden Brazil langgar perintah mahkamah


Mahkamah Agung Brazil mengarahkan siasatan ke atas dakwaan dibuat Presiden Jair Bolsonaro berkaitan penipuan sistem pengundian elektronik negara itu. – Gambar AFP, 29 Januari, 2022.

PRESIDEN Jair Bolsonaro tidak mematuhi perintah mahkamah untuk hadir soal siasat pada Jumaat berkaitan kecamannya kepada sistem pengundian elektronik, mencetuskan satu lagi kemelut pentadbiran dan kehakiman Brazil.

Seorang hakim Mahkamah Agung mengarahkan pemimpin berhaluan kanan itu untuk hadir di ibu pejabat polis di Brasilia.

Penyiasat cuba menentukan sama ada Bolsonaro mendedahkan maklumat sulit dalam tuduhan dikeluarkannya bahawa sistem pengundian elektronik Brazil dipenuhi dengan penipuan.

Walaupun kumpulan wartawan sedia menanti, Bolsonaro tidak hadir pada Jumaat.

Bolsonaro sudah lama mengecam sistem pengundian elektronik diperkenalkan di Brazil pada 1996.

Beliau memperhebatkan serangan menjelang pilihan raya pada Oktober tahun ini, menegaskan yang kertas undi “dicetak dan boleh diaudit” perlu menggantikan sistem elektronik.

Siasatan dibuka pada Ogos tahun lepas selepas polis menerima laporan bahawa serangan siber pada 2018 ke atas Tribunal Pilihan Raya Agung yang heboh di media sosial mempunyai kaitan dengan presiden.

Bolsonaro menunjukkan dokumen sulit ketika siaran langsung di TV dan menerbitkannya dalam talian ketika kempennya bagi menunjukkan sistem pengundian elektronik Brazil tidak boleh dipercayai.

Kegagalan beliau hadir adalah kejadian terbaru dalam kemelut pertikaian antara Bolsonaro dan Alexandre de Moraes, hakim Mahkamah Agung yang mengeluarkan perintah dan membuka beberapa siasatan kes lain terhadap presiden itu, kata penganalisis politik Creomar De Souza.

November lepas, polis menyoalsiasat Bolsonaro yang didakwa masuk campur dalam siasatan polis ke atas urusan perniagaan dikaitkan dengan keluarga Bolsonaro.

Dengan Brazil terjejas teruk kerana pandemik, rating Bolsonaro jatuh merudum dan beliau dijangka kalah pada pilihan raya Oktober depan dengan bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva dijangka menang. – AFP, 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen