TAIWAN tidak akan menghantar delegasi rasmi ke majlis perasmian atau penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing disebabkan sekatan ketat kawalan pandemik dikenakan China dan gangguan penerbangan, kata badan sukan kepulauan itu.
Keputusan itu dibuat selepas ketegangan hubungan antara Beijing dan Taipei semakin memuncak dengan China memperhebatkan tekanan ketenteraan dan ekonomi di bawah pentadbiran Presiden Xi Jinping.
Pentadbiran Sukan Taiwan semalam berkata yang delegasi 15 ahli tidak akan hadir majlis perasmian dan penutupan disebabkan “sekatan pandemik dan jadual penerbangan”.
Pasukan musim sejuk yang terdiri daripada empat atlit akan terbang ke China dari Amerika Syarikat, Switzerland dan Taiwan, tambah badan sukan itu dalam kenyataan.
“Menurut sekatan pandemik dan dasar kemasukan majlis, penerbangan perlu diubah dan ditangguhkan, dan tidak semua dapat tiba di Beijing pada majlis pembukaan pada 4 Februari.
Pihak berkuasa China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan berjanji akan merampasnya satu hari nanti, walaupun terpaksa menggunakan kekerasan.
Jumlah pesawat tempur China mengelilingi ruang udara Taiwan semakin meningkat dan latihan ketenteraan China dengan stimulasi penjajahan sering kali berlaku.
China memutuskan semua saluran komunikasi rasmi dengan kerajaan pimpinan Presiden Tsai Ing-wen sejak 2016 kerana beliau menganggap Taiwan sebagai sebuah negara berdaulat.
Kali terakhir Beijing menganjurkan Olimpik pada 2008, hubungan China dan Taiwan masih baik dan delegasi besar dihantar.
Taiwan dan Beijing sejak berdekad lamanya bergelut dengan pertikaian perwakilan di Olimpik.
Sejak 1981, Taiwan mempunyai perjanjian dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk bertanding menggunakan nama China Taipei.
Ia adalah perjanjian tolak ansur membolehkan Taiwan bertanding di temasya sukan antarabangsa tanpa mewakilkan dirinya sebagai negara berdaulat. – AFP, 29 Januari, 2022.
Komen