Erdogan pecat ketua agensi perangkaan Turki


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memecat ketua agensi perangkaan negara itu selepas data inflasi tahunan yang dikeluarkan mencetuskan kemarahan kerajaan dan pembangkang. – Gambar AFP, 29 Januari, 2022.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan memecat ketua agensi perangkaan negara itu, menurut pekeliling dikeluarkan hari ini, selepas data inflasi tahunan mencetuskan kemarahan kem pro kerajaan dan pembangkang.

Pemecatan Sait Erdal Dincer yang terheret kontroversi itu berlaku selepas agensi perangkaan Turki mengeluarkan data inflasi bulan ini, meletakkan kadar inflasi tahunan sebanyak 36.1%, tertinggi dalam tempoh 19 tahun.

Pembangkang menyifatkan kadar itu sebagai kurang pelaporan, mendakwa peningkatan sebenar kos sara hidup boleh mencecah dua kali ganda berbanding yang dilaporkan.

Tetapi Erdogan dilaporkan mengkritik agensi perangkaan dalam mesyuarat tertutup kerana mengeluarkan data yang dianggapnya memperbesar-besarkan situasi buruk semasa ekonomi Turki.

Erdogan tidak menjelaskan keputusannya untuk melantik Erhan Cetinkaya, naib pengerusi agensi penyelia perbankan Turki sebagai ketua perangkaan terbaru.

Pemimpin Turki itu turut melantik menteri kehakiman baharu, menamakan bekas timbalan perdana menteri Bekir Bozdag untuk menggantikan politikus veteran parti pemerintah Abdulhamit Gul.

“Saya sudah meletak jawatan sebagai menteri kehakiman yang saya pegang sejak 19 Julai 2017,” tulis Gul di Twitter.

“Saya berterima kasih …kerana menerima permohonan (letak jawatan) saya,” tambahnya tanpa menjelaskan mengapa tindakan itu diambil. – AFP, 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen