Tunisia tahan wanita disyaki rancang serangan pengganas


Seorang wanita yang pulang dari Syria yang merancang pengeboman berani mati di sebuah pusat peranginan pelancong ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri Tunisia semalam. – Gambar EPA, 29 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Dalam Negeri Tunisia semalam berjaya menggagalkan serangan “pengganas” dengan penahanan seorang wanita yang pulang dari Syria yang merancang pengeboman berani mati di sebuah pusat peranginan pelancong.

Warga Tunisia berusia 22 tahun itu ditahan di lapangan terbang Tunisia pada 10 Januari, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Wanita itu ke Turki pada 2020 kemudian pada tahun lalu tiba di Syria di mana kumpulan pelampau melatihnya untuk pengeboman berani mati, katanya.

Pihak berkuasa Tunisia juga menahan seorang lagi “pengganas” yang merancang untuk memberikannya tali pinggang letupan, tambahnya.

Beliau juga “terlibat dalam perancangan dan penyediaan operasi pengganas pada akhir 2021 yang menyasarkan pegawai penting negeri”.

Selepas revolusi Tunisia 2011 negara Afrika Utara itu menyaksikan gelombang serangan jihad yang membunuh berpuluh-puluh anggota keselamatan dan pelancong asing.

Ramai rakyat Tunisia juga pergi ke Syria dan Iraq untuk menyertai kumpulan “khalifah” kumpulan Negara Islam dan kumpulan pelampau lain. – AFP, 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen