China umum kertas putih angkasa lepas 2021


Timbalan Pengarah Pentadbiran Angkasa Negara China Wu Yanhua berkata republik itu kini mempunyai keupayaan melancarkan roket dari darat atau laut. – Gambar AFP, 28 Januari, 2022.

DEWAN Negara China pada Jumaat mengumumkan Kertas Putih Angkasa Lepas China 2021, iaitu kertas putih kelima mengenai program angkasa lepas China.

Kertas putih ini menjelaskan secara sistematik kejayaan cemerlang China dalam bidang aeroangkasa sejak 2016, selain memperkenalkan misi utama, dasar dan tindakan, serta interaksi dan kerjasama antarabangsa bagi membangunkan industri aeroangkasa China untuk tempoh lima tahun akan datang.

Kertas putih terdiri daripada enam komponen berhubung pembinaan negara aeroangkasa yang berkuasa, membangunkan teknologi dan sistem angkasa lepas, memupuk dan mengembangkan industri aplikasi aeroangkasa, menjalankan penerokaan dan penyelidikan saintifik, menggalakkan pemodenan tadbir urus, serta membina paradigma baharu terhadap kerjasama antarabangsa.

Timbalan Pengarah Pentadbiran Angkasa Negara China Wu Yanhua berkata, lima tahun lalu industri aeroangkasa berjaya menghasilkan kecemerlangan dalam inovasi dan pembangunan.

“Ia termasuk menaiktaraf roket pembawa yang dipercepatkan dengan penggunaan Long March 5, roket pembawa generasi baharu yang bebas toksik dan pencemaran.

“Sementara itu, dengan kewujudan roket pembawa komersial, China kini mempunyai keupayaan melancarkan roket dari darat atau laut. 

“Sebanyak 207 kali misi pelancaran telah dijalankan sejak 2016 hingga bulan Disember 2021 dengan kadar kejayaan sebanyak 96.7 peratus,” kata Wu.

Beliau berkata, pembinaan stesen angkasa lepas China telah dilaksanakan secara menyeluruh, dan enam angkasawan yang berjaya menjalankan tugas di stesen itu dilihat telah membuka era penempatan angkasawan di stesen angkasa lepas untuk tempoh jangka masa panjang.

Sebelum ini, projek penjelajahan Bulan “mengelilingi Bulan, mendarat, dan pulang ke Bumi” berjaya dijalankan.

Satelit Chang’e-4 buat pertama kali berjaya mendarat di belakang Bulan bagi menjalankan misi pemeriksaan dan penerokaan, manakala satelit Chang’e-5 pula telah membawa balik 1731 gram sampel tanah dari Bulan.

Selain itu, pendaratan Prob penyelidikan Tianwen-1 pula dilihat sebagai batu loncatan signifikan bagi China untuk mengeksplorasi alam semesta dari sistem Bumi-Bulan kepada penerokaan antara planet, dan buat pertama kali meninggalkan jejak China di Marikh.

Tambahan lagi, infrastruktur angkasa lepas China turut menyaksikan penambahbaikan secara berterusan, sistem perkhidmatan navigasi satelit global Beidou turut beroperasi sepenuhnya, manakala sistem cerapan Bumi dengan resolusi tinggi pula telah berjaya disempurnakan.

Memetik kertas putih itu, China sentiasa menitikberatkan pembangunan industri aeroangkasa sebagai komponen penting dalam strategi pembangunan keseluruhan negara, dan sentiasa berpegang pada prinsip penerokaan dan penggunaan angkasa lepas untuk tujuan aman.

“Industri aeroangkasa China akan berpaksikan kepada fasa pembangunan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang, mengamalkan konsep pembangunan baharu, membina paradigma pembangunan baharu, dan mempromosikan pembangunan menyeluruh sains, teknologi dan aplikasi angkasa lepas yang bertepatan dengan pembangunan berkualiti tinggi,” menurut kertas putih itu. – Bernama, 28 Januari, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen