Covid-19 di Australia tunjuk penurunan, tapi kematian meningkat


Jangkitan Covid-19 di negeri paling teruk dilanda di Australia menunjukkan tanda penurunan, meskipun beberapa negeri masih mencatatkan kadar kematian yang tinggi. – Gambar EPA, 28 Januari, 2022.

JANGKITAN Covid-19 di negeri paling teruk dilanda di Australia menunjukkan tanda penurunan, meskipun beberapa negeri masih mencatatkan kadar kematian yang tinggi, lapor Xinhua.

Negeri Queensland melaporkan 9,974 kes baharu dan 18 kematian hari ini, menjadikannya kematian harian tertinggi sejak wabak itu dikesan di negeri itu. Kini terdapat 818 orang yang dirawat di hospital, turun daripada 829 orang semalam.

Ketua Pegawai Kesihatan Queensland John Gerrard berkata keadaan di kebanyakan kawasan di Queensland adalah sangat stabil dan negeri itu menjangkakan akan mengalami penurunan dalam tempoh tujuh hari akan datang, dan Gold Coast, wilayah yang paling terjejas, sudah menunjukkan penurunan kes.

Ketua Menteri Queensland Annastacia Palaszczuk juga bersetuju keadaan semasa adalah lebih baik berbanding senario terburuk yang dicadangkan oleh model yang diguna kerajaan negeri untuk meramal gelombang semasa.

“Kami pada mulanya menjangka memerlukan 5,000 katil hospital di seluruh Queensland ... tetapi apa yang kami laporkan pada masa ini adalah di bawah 1,000. Ini adalah berita yang menggalakkan,” katanya.

Di New South Wales (NSW), kemasukan ke hospital juga menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu manakala pesakit rawatan rapi kekal di bawah 200.

Jabatan kesihatan negeri melaporkan 13,333 kes baharu dan 35 kematian pada Jumaat. Terkini, 2,737 pesakit masih di rawat di hospital, dan 189 dalam rawatan rapi.

Timbalan Setiausaha Kesihatan NSW Susan Pearce berkata mereka menjangkakan penurunan dalam kes harian minggu depan.

Sementara itu, negeri Victoria merekodkan 12,755 jangkitan baharu Covid-19 dan 39 kematian, jumlah korban paling tinggi yang pernah dialami negeri itu sepanjang penularannya.

Menteri Kesihatan Negeri Martin Foley berkata jangkitan di Victoria “nampaknya stabil” dan beberapa perkhidmatan hospital negeri yang dihentikan seketika akan disambung semula apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian. – Bernama, 28 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen