BEKAS doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar yang berdekad melakukan penderaan seksual telah dijatuhi hukuman tambahan 40 hingga 125 tahun penjara.
Nassar yang sebelum ini menerima hukuman penjara seumur hidup atas dua kesalahan terdahulu selepas mengaku bersalah mencabul ketika menjadi doktor perubatan sukan berprofil tinggi dalam pasukan gimnastik AS dan di klinik Michigan State University.
Hukuman terbaharu itu atas kesalahan yang di lakukan Nassar di Pusat Latihan Gimnastik Twistars di Michigan. Ketika di mahkamah, mangsa berkata mereka dirujuk kepada Nassar untuk mendapatkan rawatan dan dicabul.
“Ini menamatkan prosiding undang-undang jenayah melibatkan Larry Nassar. Saya sedar yang ia tidak melenyapkan penderitaan emosi dan fizikal mangsa,” Hakim Janice Cunningham berkata di mahkamah di Charlotte, Michigan sebaik menjatuhkan hukuman.
Nassar, 54 dituduh oleh 265 wanita - termasuk atlet Olimpik, ahli gimnastik dan atlet kolej - kerana mencabul mereka sepanjang kariernya selama dua dekad.
Kes ini telah menimbulkan persoalan bagaimana perbuatan Nassar tidak dapat dikesan sebegitu lama.
Nassar sebelum ini menerima hukuman penjara 60 tahun atas kesalahan pornografi kanak-kanak pada Disember lalu. Bulan lepas pula, dia dijatuhi hukuman sehingga 175 tahun atas kesalahan mencabul. – AFP, 6 Februari, 2018.
Komen