POPULARITI Jacinda Ardern merosot ke tahap paling rendah sejak beliau menjadi Perdana Menteri New Zealand pada 2017, menurut tinjauan pendapat ketika beliau dikritik hebat berikutan tindak balasnya terhadap Covid-19 dan keraguan ekonomi.
Tinjauan 1News-Kantar yang dikeluarkan pada Khamis meletakkan penarafan Ardern sebagai perdana menteri pilihan pada 35 peratus tetapi masih menunjukkan kerajaannya berada di landasan untuk menang pilihan raya akan datang, yang dijangka pada 2023.
Chris Luxon, pemimpin pembangkang kelima yang dihadapi Ardern, menaikkan penarafan PM pilihannya 13 mata kepada 17 peratus.
Luxon merupakan pemimpin Parti Kebangsaan konservatif yang dilantik baru-baru ini, yang mengecilkan jurang dengan Parti Buruh Ardern sebanyak lima mata - dengan masing-masing pada 32 peratus dan 40 peratus.
Ardern berdepan penurunan populariti pada penghujung 2019 apabila hanya 36 peratus menilai beliau sebagai PM pilihan, tetapi jumlah itu melonjak kepada rekod 63 peratus menjelang pilihan raya 2020 di tengah-tengah pujian yang meluas atas kejayaannya membendung Covid-19.
Sejak itu, pengkritik menuduhnya gagal menyesuaikan dasar dengan cepat bagi menangani cabaran varian Delta dan Omicron.
Terdapat juga rasa tidak puas hati dengan dasar sempadan yang keras yang menyukarkan rakyatnya yang berpangkalan di luar negara untuk pulang ke tanah air, walaupun pembela Ardern menegaskan negara itu hanya mengalami 52 kematian akibat virus dalam populasi lima juta.
Tinjauan pendapat menunjukkan 49 peratus responden bersikap pesimis terhadap ekonomi, dengan hanya 22 peratus menjangkakan peningkatan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Angka itu dikeluarkan selepas data rasmi menunjukkan inflasi tahunan New Zealand pada paras tertinggi 30 tahun sebanyak 5.9 peratus, didorong oleh pasaran perumahan.
Harga rumah melonjak lebih 28 peratus pada 2021, menyusahkan ramai keluarga muda yang menjadi sebahagian daripada penyokong kuat Ardern untuk memiliki rumah sendiri.
Tinjauan 1News-Kantar dijalankan antara 22-26 Januari, dengan 1,000 pengundi yang layak ditinjau. – AFP, 28 Januari, 2022.
Komen