AMERIKA Syarikat (AS) menggesa mesyuarat terbuka Majlis Keselamatan PBB Isnin depan bagi menangani krisis berkaitan Ukraine berikutan apa yang dipanggil “tingkah laku mengancam” Rusia.
“Lebih 100,000 tentera Rusia dikerahkan ke sempadan Ukraine dan Rusia terlibat dalam tindakan tidak stabil lain yang ditujukan kepada Ukraine, yang menimbulkan ancaman jelas kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa dan Piagam PBB,” kata utusan PBB Washington, Linda Thomas-Greenfield dalam satu kenyataan.
“Ketika kami teruskan usaha diplomasi untuk meredakan ketegangan,” tambahnya, Majlis Keselamatan 15 anggota “perlu meneliti fakta dengan tepat dan mempertimbangkan apa yang dipertaruhkan untuk Ukraine, untuk Rusia, untuk Eropah, dan untuk kewajipan dan prinsip antarabangsa jika Rusia terus menyerang Ukraine.”
Kebimbangan semakin meningkat Rusia boleh menyerang jirannya itu, kata Thomas-Greenfield, menambah majlis itu berhadapan isu “penting” bagi keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Tingkah laku mengancam Rusia terhadap Ukraine dan kewujudan tentera Rusia di sempadan Ukraine dan di Belarus.
“Ini bukan masa untuk tunggu dan lihat. Perhatian penuh Majlis diperlukan sekarang, dan kami harap untuk adakan perbincangan secara langsung dan bermatlamat pada Isnin.”
Sebagai salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan, Rusia mempunyai kuasa veto ke atas sebarang resolusi PBB yang dibawa ke majlis itu.
Bagaimanapun Thomas-Greenfield berkata pertemuan itu akan memberi lebih banyak peluang untuk “mendedahkan Rusia” atas tindakannya selain mengasingkan Kremlin kerana sikap agresifnya mengenai Ukraine.
“Walaupun mereka ada kuasa veto, pengasingan mereka akan dirasai jika Majlis Keselamatan bawa perkara ini, dan kami membentangkan barisan yang bersatu menentang Rusia,” kata utusan Amerika itu dalam satu wawancara di Televisyen Awam Romania.
“Saya tidak fikir mana-mana negara dalam Majlis Keselamatan akan berdiam diri dan berkata adalah baik bagi Rusia untuk serang sempadan negara lain.”
Pada asalnya Amerika Syarikat berharap untuk mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan pada Jumaat, menurut para diplomat.
Tetapi ia berkata mereka bersetuju untuk menunda pada Isnin supaya tidak mengganggu panggilan telefon yang dijadualkan antara Presiden Perancis Emmanuel Macron dan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin pada Jumaat. – AFP, 28 Januari, 2022.
Komen