Maghribi tamat larangan penerbangan antarabangsa


Rabat mengenakan sekatan pada mulanya akhir November hingga 31 Disember bagi mengekang penularan Omicron. – Gambar EPA, 28 Januari, 2022.

MAGHRIBI berkata pada Khamis ia akan menamatkan larangan penerbangan ke negara itu, yang dilaksanakan sejak 29 November dalam usaha untuk mengekang penyebaran varian koronavirus, Omicron.

Kenyataan kerajaan yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi MAP negara itu berkata larangan akan berakhir pada 7 Februari.

Keputusan itu susulan “evolusi situasi epidemiologi dalam negara”, kata kenyataan itu, sambil menambah yang syarat kemasukan untuk pelawat akan diumumkan kemudian.

Rabat mengenakan sekatan pada mulanya akhir November hingga 31 Disember, walaupun mekanisme disediakan bagi warga Maghribi yang terkandas di luar negara untuk pulang ke tanah air.

Tetapi pada Disember, Rabat menghentikan mekanisme itu dan menutup sempadan negara.

Satu-satunya pergerakan penumpang yang dibenarkan di bawah peraturan semasa ialah penerbangan penghantaran pulang sekali sahaja untuk warga asing di kerajaan itu, yang dibenarkan berdasarkan kes tertentu oleh Rabat.

Sekatan berkenaan memberi tamparan hebat kepada sektor pelancongan penting negara Afrika Utara itu, yang terjejas teruk selepas dua musim hilang akibat wabak itu. – AFP, 27 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen