PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menafikan parti Islam itu akan memecahkan pentadbiran Malaysia kepada dua Kabinet jika ia memerintah negara ini.
Lidah pengarang parti itu, Harakahdaily melaporkan Hadi dalam satu kenyataan berkata perkara itu disalahertikan dan beliau sebenarnya merujuk kepada pembahagian tugas, bukan cadangan dua Kabinet.
“
“Ada menteri yang pantau kementerian. Itu biasakan pembahagian? Bukan dua Kabinet, itu dia tak faham, tak faham ulasan saya, tak faham,” katanya dipetik daripada Harakahdaily.
Pada Ahad, The Malaysian Insight melaporkan tentang cadangan Hadi tentang struktur Kabinet di bawah kerajaan PAS, di mana katanya individu berlainan agama akan mempunyai peranan berbeza.
“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua – (satu), Kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.
“Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” kata ahli Parlimen Marang itu ketika berucap dalam program dialog bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ahad.
Kumpulan kedua pula teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan, katanya.
“Teknokrat ini boleh dari Parlimen atau sektor swasta,” kata Hadi.
Wakil rakyat dan penganalisis politik mengkritik kenyataan Hadi, berkata ia diskriminasi, tidak Islamik dan bercanggah dengan rukun pembentukan Malaysia.
Penganalisis Wong Chin Huat berkata idea pembahagian politik itu berdasarkan kepada sistem kasta agama.
Hadi bagaimanapun menolak kenyataan Wong, berkata Islam agama yang memansuhkan sistem kasta kerana ia tidak menganggap ulamanya sebagai suci.
Katanya, kenyataan yang dibuat itu berdasarkan kepada gabungan mereka yang menganut ideologi negara dan tidak menganut ideologi negara dalam satu pemerintahan.
“Dalam negara moden hanya mereka yang menganut ideologi negara sahaja boleh jadi menteri Kabinet. Kalau Demokrat, semua Demokrat. Republikan semua Republikan. Barisan Nasional, semua Barisan Nasional.
“Kalau kita kerajaan teknokrat boleh orang kanan yang lain boleh jadi menteri, dia ada kepakaran. Bukan makna dua itu. Kepakaran-kepakaran dia. Itu kena faham. Bukan makna dua (Kabinet), itu tak, ulasan itu tak kena,” kata Hadi. – 6 Februari, 2018.
Komen