Tokan dadah ditahan, heroin bernilai RM43,000 dirampas


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis heroin base seberat 375.90 gram serta 632.30 gram heroin dianggarkan bernilai RM43,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bukit Beruang, Ayer Keroh di Melaka awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid berkata ejen pencari pekerja berumur 38 tahun yang disyaki tokan dadah itu ditahan dalam serbuan pada pukul 4.50 pagi, dan polis turut menyita dua kereta dianggarkan bernilai RM130,000 dalam serbuan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata suspek yang masih bujang itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, dan tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Menurutnya siasatan awal mendapati suspek dengan 11 rekod kesalahan lampau berkaitan narkotik itu positif dadah jenis morphine, dia ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.– Bernama, 27 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen