DUA paderi dan seorang guru sekolah rendah mati ditembak, semalam, di negeri yang memiliki kadar jenayah paling tinggi, Guerrero, di Mexico ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis keramaian, kata pihak berkuasa.
Dalam kejadian awal pagi itu, empat mangsa lain turut dilaporkan cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah kereta di tengah lebuh raya yang menghubungkan pekan Taxco dengan Iguala, kata kementerian keselamatan di selatan negara berkenaan.
Katanya, sebuah kenderaan berwarna hitam menghalang jalan sebelum beberapa penjenayah dilihat melepaskan tembakan ke arah kereta yang menggunakan jalan itu.
Polis menemui kenderaan digunakan penjenayah yang ditinggalkan kira-kira 1.5km dari lokasi kejadian bersama tali menyandang senapang di dalamnya.
Gereja tempatan yang mengutuk insiden malang itu menyeru seluruh komuniti berkabung dan meminta pihak berkuasa mencari mereka yang bertanggungjawab melakukannya.
Serangan ke atas paderi semakin berleluasa di Mexico terutama di wilayah terkenal dengan kegiatan jenayah berkumpulan dan kartel dadah seperti Guerrero. – AFP, 6 Februari, 2018.
Komen