Kebanyakan kes Omicron di England babit jangkitan semula


Hampir dua pertiga individu di England yang positif Covid-19 pada Januari, pernah dijangkiti virus itu atau mengesyaki mereka dijangkiti sebelum ini. – Gambar EPA, 27 Januari, 2022.

HAMPIR dua pertiga individu di England yang positif Covid-19 pada Januari, pernah dijangkiti virus itu atau mengesyaki mereka dijangkiti sebelum ini, menurut satu kajian.

Dapatan kajian dalam laporan terkini mengenai penularan koronavirus dijalankan Imperial College London (Imperial), dilihat sebagai bukti terhadap keupayaan varian Omicron mengelak sistem imun individu yang sebelum ini dijangkiti virus berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada penilaian, Imperial menerima kira-kira 100,000 ujian kendiri menerusi sampel rawak di seluruh England antara 5 dan 20 Januari lalu.

Kira-kira 4,000 responden menunjukkan keputusan positif, dan hampir 3,600 daripada individu itu mengesahkan sama ada mereka menghidap Covid-19 atau tidak sebelum ini.

Kira-kira 65% responden sebelum ini diuji positif, manakala 7.5% lagi berkata mereka mengesyaki mereka dijangkiti virus itu sebelum ini tetapi tidak menerima ujian pengesahan.

“Jangkitan lalu dikaitkan dengan risiko tinggi jangkitan semula dengan Omicron,” kata penulis kajian.

Bagaimanapun, Paul Elliott yang mengetuai kajian Imperial berkata tidak semua kes boleh disahkan sebagai jangkitan semula kerana sesetengahnya boleh menjadi penyakit sisa, bermakna seseorang diuji positif dua kali untuk jangkitan sama.

Tetapi jumlah yang melaporkan jangkitan semula dalam kajian itu lebih tinggi daripada diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) (UHSA), badan perlindungan kesihatan awam.

Angka terbaru menunjukkan 11% daripada semua kes adalah jangkitan semula.

UKHSA berkata pihaknya akan mula memasukkan data jangkitan semula mulai akhir bulan ini.

Jangkitan semula ditakrifkan sebagai seseorang yang diuji positif dua kali sekurang-kurangnya dalam tempoh sela 90 hari.

Tinjauan Imperial juga mengesahkan Omicron, yang melanda UK sejak akhir November, kini mendominasi hampir semua jangkitan baharu di England.

Kes positif dalam kalangan sampel yang dipilih secara rawak adalah tiga kali lebih tinggi dalam tempoh persampelan Januari berbanding bulan sebelumnya.

“Kami memerhatikan tahap jangkitan SARS-CoV-2 yang belum pernah berlaku sebelum ini di England pada Januari 2022 dan Omicron hampir sepenuhnya menggantikan varian Delta,” menurut laporan itu. – AFP, 27 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen