PEKERJA industri pelancongan Maghribi menyertai tunjuk perasaan semalam, kali kedua bulan ini sebagai membantah tindakan kerajaan menutup sempadan selama dua bulan bagi mengekang penularan varian Omicron.
Hampir 200 penunjuk perasaan berkumpul di depan Kementerian Pelancongan di Rabat, manakala media tempatan berkata demonstrasi lain berlaku di pusat pelancongan Agadir dan Marrakesh.
Negara Afrika Utara itu menggantung semua penerbangan dari 29 November hingga sekurang-kurangnya 31 Januari kerana varian Omicron yang sangat mudah berjangkit merebak ke seluruh dunia.
Sekatan itu memberi tamparan hebat kepada pelancongan Maghribi, yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selama dua musim.
“Penutupan itu memaksa kami menghentikan operasi tetapi pada masa sama tetap menanggung kos operasi,” kata Mimoun Azzouzi, pemilik agensi pelancongan di Temara, berhampiran ibu negara.
Penunjuk perasaan berkata mereka dikecualikan daripada program bantuan kerajaan dua bilion dirham atau AS$214 juta untuk sektor itu. – AFP, 27 Januari, 2022.
Komen