Russia, Ukraine setuju gencatan senjata


Kehadiran tentera Russia berhampiran sempadan Ukraine mencetuskan kebimbangan kerana ada dakwaan Kremlin merancang campur tangan ketenteraan ke atas negara pro EU itu. – Gambar EPA, 27 Januari, 2022.

MOSCOW dan Kyiv bersetuju semua pihak perlu mematuhi gencatan senjata di timur Ukraine selepas lebih lapan jam rundingan di Paris.

Diplomat Perancis memuji usaha itu yang disifatkan sebagai petanda baik.

Berdasarkan situasi di timur Ukraine ketika ini, kehadiran tentera Russia berhampiran sempadan negara itu mencetuskan kebimbangan kerana ada dakwaan Kremlin merancang campur tangan ketenteraan ke atas negara pro Kesatuan Eropah (EU) itu, termasuk kehadiran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di timur Eropah.

Pembantu kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron yang enggan namanya disiarkan berkata perbincangan di Paris bertujuan menyelesaikan pertempuran pemisah di timur Ukraine sejak 2014 dan bukan ancaman pencerobohan Russia.

“Dalam keadaan sekarang, kami menerima satu isyarat baik,” katanya.

Pertama kali sejak 2019, Ukraine dan Russia bersetuju menandatangani kenyataan bersama dengan Perancis serta Jerman, berkisar konflik berterusan antara tentera Ukraine dan kumpulan pemisah di timur negara berkenaan.

Empat negara itu berusaha ke arah mencapai perjanjian aman di timur Ukraine sejak 2014 dan secara kolektifnya dikenali sebagai Kumpulan Normandy.

“Bagaimanapun kesulitan perbincangan berlaku sejak Disember 2019 apabila Kumpulan Normandy tidak dapat bersetuju dengan beberapa perkara utama,” katanya.

Kenyataan bersama itu mengandungi komitmen kedua-dua pihaknya bersetuju “menghormati gencatan senjata tanpa syarat” dan mereka juga ada memberitahu akan bertemu lagi dalam tempoh dua minggu di Berlin.

Dalam perjanjian gencatan senjata 2014 yang diperkukuhkan pada 2020, ia bagi membantu menamatkan pertempuran paling buruk ke atas dua wilayah pemisah di timur Ukraine yang meragut kira-kira 13,000 nyawa. – AFP, 27 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen