TUJUH termasuk empat wanita didakwa di Australia atas kesalahan melakukan penderaan seksual dan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di sebuah sekolah latihan sarkas, termasuk mengeluarkan bahan pornografi kanak-kanak.
Polis berkata penderaan yang dilakukan secara sistematik terhadap kanak-kanak terbabit yang semuanya berusia bawah lapan tahun, berlaku antara 2014 dan 2016, dilaporkan di sebuah bangunan di Katoomba, utara Sydney, yang menempatkan kanak-kanak sempurna dan juga berkeperluan khas.
“Empat wanita, dua lelaki dan seorang remaja perempuan didakwa dengan 127 kesalahan berkaitan penderaan seksual dan fizikal,” kata polis New South Wales dalam satu kenyataan.
“Detektif menubuhkan satu pasukan khas pada Julai 2017 untuk menyiasat laporan berkenaan sejarah penderaan seksual dan fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki yang pada masa itu berusia lapan tahun.”
Antara yang didakwa ialah seorang wanita berusia 58 tahun yang juga pengasas sekolah berkenaan, dengan 43 pertuduhan termasuk melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur 14 tahun, menculik dan serangan seksual.
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dituduh menghasilkan bahan penderaan kanak-kanan dan serangan seksual dalam syarikat itu, sementara seorang lagi tertuduh lelaki berusia 18 tahun didakwa kerana menculik dan mengeluarkan bahan lucah kanak-kanak.
Semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan akan dibawa ke mahkamah pada hari ini.
The Sydney Morning Herald berkata sekolah itu terletak di Blue Mountains, satu destinasi popular untuk pelancong, mengajar kanak-kanak pelbagai peringkat umur tentang kemahiran sarkas. – AFP, 6 Februari, 2018.
Komen