LEGENDA rock Paul Simon mengumumkan hasrat untuk bersara dan tidak akan mengadakan konsert jelajah dunia lagi, selepas 50 tahun berbuat demikian.
Simon, 76, berkata konsert terakhirnya akan diadakan di Taman Hyde, London pada 15 Julai.
Malah, jualan tiket pada konsert di Taman Hyde turut dipromosikan sebagai “konsert perpisahan”.
Sebelum itu, beliau dan pasangan duetnya, Art Garfunkel akan mengadakan persembahan pembukaan pada siri jelajah di Amerika Utara dan Eropah pada 16 Mei di Vancouver, Kanada.
Simon berkata keputusan untuk bersara dibuat selepas kematian pemain gitar pengiringnya, Vincent N’guini pada Disember lalu.
“Sebenarnya, saya rasa tempoh berjauhan dengan isteri dan keluarga ketika mengadakan konsert jelajah menjejaskan keseronokan untuk bermain muzik.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia yang menyaksikan persembahan saya sepanjang 50 tahun lalu,” katanya dalam mesej yang ditujukan khas kepada peminatnya.
Beliau berkahwin dengan rakan penyanyi, Edie Brickell.
Bagaimanapun, Simon berkata beliau sedia mengadakan persembahan selepas bersara bagi menyokong isu yang diperjuangkan seperti alam sekitar.
Antara lagu hit nyanyian Simon dan Garfunkel ialah Bridge over Troubled Water dan Mrs. Robinson. – AFP, 6 Februari, 2018.
Komen