39 hilang bot karam di perairan Florida


Gambar yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai AS menunjukkan kapal yang terbalik di dalam air dengan seorang lelaki berpaut pada badan kapal. – Gambar EPA, 26 Januari, 2022.

PENGAWAL Pantai Amerika Syarikat melancarkan operasi mencari 39 orang yang dilaporkan hilang apabila sebuah bot terbalik di perairan Florida.

Bot berkenaan disyaki digunakan untuk tujuan penyeludupan manusia.

Pengawal Pantai di Miami berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang bertindak menyelamatkan salah seorang mangsa yang berpaut pada kapal yang terbalik kira-kira 45 batu di timur Fort Pierce Inlet.

Mangsa yang terselamat berkata bot itu meninggalkan Bimini di Bahamas pada malam Sabtu, dan berdepan cuaca buruk sebelum ia terbalik.

“Menurut mangsa yang terselamat, tiada sesiapa yang memakai jaket keselamatan,” kata kenyataan itu.

“Krew aset udara dan permukaan Pengawal Pantai sedang giat mencari orang di dalam air. Ini adalah usaha penyeludupan manusia yang disyaki,” kata kenyataan yang disiarkan di Twitter.

Tambahnya kru udara dan permukaan akan meneruskan pencarian sepanjang malam. 

Gambar yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai AS menunjukkan kapal yang terbalik di dalam air dengan seorang lelaki berpaut pada badan kapal.

Mangsa yang terselamat dibawa ke hospital untuk dirawat kerana dehidrasi dan terdedah kepada cahaya matahari, kata Pengawal Pantai. – 26 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen