Maldives isytihar darurat 15 hari


Presiden Maldives Abdulla Yameen mengisytiharkan perintah darurat berkuat kuasa selama 15 hari, bermula semalam. – Gambar AFP, 6 Februari, 2018.

PRESIDEN Maldives Abdulla Yameen mengisytiharkan perintah darurat berkuat kuasa selama 15 hari, bermula semalam.

Pengumuman yang dibuat oleh pembantu presiden, Azima Shukoor itu dijangka memburukkan lagi krisis politik yang sedang melanda negara di Lautan Hindi itu.

Ia juga bakal memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek, dijangka meningkatkan ketegangan antara Mahkamah Agung serta pihak kerajaan.

Abdulla dilaporkan enggan mematuhi arahan mahkamah untuk membebaskan tahanan politik, di sebalik desakan oleh masyarakat antarabangsa.

Azima membacakan deklarasi itu di stesen televisyen sebaik saja Abdulla menghantar tiga surat kepada hakim, untuk meminta mereka membatalkan keputusan berkenaan.

Perintah darurat itu yang kedua dikeluarkan oleh Abdulla selepas kali pertama pada November 2015, selepas mendakwa ada cubaan untuk membunuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas presiden, Maumoon Abdul Gayoom ditahan semalam, sejurus Abdulla yang juga abang tirinya mengisytiharkan darurat itu.

Maumoon yang kini berusia 80 tahun, menyandang jawatan presiden hampir 30 tahun sebelum negara itu mengadakan pilihan raya demokratik pertamanya pada 2008.

Menurut kenyataan anak perempuannya, Yumna Maumoon menerusi Twitter peribadi, bapanya ditahan di kediamannya di ibu kota Male.

Gayoom didakwa memihak kepada pembangkang utama dan giat berkempen menggulingkan abangnya. – AFP, 6 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen