Elton John positif Covid-19, konsert di Dallas ditunda


Elton John terpaksa menunda konsert perpisahannya di Dallas selepas disahkan positif Covid-19. – Gambar EPA, 26 Januari, 2022.

BINTANG pop mega Elton John pada Selasa menangguhkan dua konsertnya di Dallas selepas disahkan positif Covid-19.

“Ia satu kekecewaan besar menangguhkan rancangan dan saya minta maaf kepada sesiapa yang mengalami kesulitan dengan ini tetapi saya mahu memastikan diri saya dan pasukan saya selamat,” kata pemuzik warga Britain, 74, dalam satu kenyataan di media sosial.

“Nasib baik, saya sudah mendapat vaksin lengkap dan dos penggalak dan simptom saya adalah ringan.”

Konsert itu, sebahagian daripada jelajah “Farewell Yellow Brick Road”, dijadualkan pada 25 Januari dan 26 Januari. 

John dan American Airlines Center, tempat pertunjukan itu berlangsung, berkata ia akan dijadualkan semula dan peminat perlu menyimpan tiket mereka.

John berkata beliau menjangkakan cukup sihat untuk persembahannya pada 29 Januari di Little Rock, Arkansas.

Jelajah itu, yang dijangka menjadi yang terakhir bagi Sir Elton, mengalami pembatalan dan penangguhan disebabkan pandemik, seperti banyak acara seni persembahan yang lain.

Legenda pop itu juga baru-baru ini menjalani pembedahan pinggul yang memaksanya menunda beberapa tarikh.

Tahun lalu, John mengeluarkan album bertajuk “The Lockdown Sessions,” yang dirakam sepenuhnya semasa pelaksanaan sekatan Covid-19. – AFP, 26 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen