RISIKO dan ancaman yang dicetuskan varian Omicron sangat tinggi dengan satu lagi rekod tertinggi kes baharu Covid-19 direkodkan minggu lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Lebih 21 juta kes baharu dilaporkan minggu lalu, angka mingguan tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik bermula,” kata WHO dalam laporan terkininya.
Pertubuhan itu berkata, jumlah kes baharu naik 5% dalam tempoh seminggu lalu, berbanding 20% pada minggu sebelumnya, menambah hampir 50,000 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 direkodkan.
Bagaimanapun, beberapa negara menunjukkan penurunan jumlah kes baharu, kata WHO.
“Negara yang merekodkan peningkatan mendadak kes membabitkan Omicron pada November dan Disember tahun lalu telah ataupun mula menunjukkan trend penurunan.”
Bagaimanapun pertubuhan itu menegaskan risiko keseluruhan yang dicetuskan oleh Omicron masih amat tinggi.
Laporan WHO juga menyebut Omicron varian paling dominan antara varian membimbangkan yang lain.
“Epidemiologi SARS-CoV-2 dicirikan oleh tahap dominan varian Omicron pada skala global, penurunan jangkitan membabitkan varian Delta, dan penularan sangat rendah varian Alpha, Beta dan Gamma.
Menurut WHO, berdasarkan sampel yang diambil dan jujukan dalam tempoh 30 hari lalu, yang kemudian dimuat naik di pangkalan data GISAID, sebanyak 89.1% daripadanya berkaitan Omicron.
Hanya 10.7% berkait Delta, yang sebelum ini varian paling dominan di dunia, katanya. – AFP, 26 Januari, 2022.
Komen