Mayat bayi ditemui dalam sampah di penjara Mexico


Seorang banduan menemui mayat bayi ketika mencari bahan kitar semula dalam bekas sampah di sebuah penjara di negeri Puebla, Mexico. – Gambar EPA, 26 Januari, 2022.

LEBIH 20 pegawai dan pengawal penjara ditahan di Mexico berhubung penemuan ngeri mayat seorang bayi yang digali dari kuburnya dalam bekas sampah penjara, kata pihak berkuasa Selasa.

Penyiasat sedang cuba mengenal pasti bagaimana mayat itu dipindahkan ke penjara serta motif di sebalik kes luar biasa itu, yang mencetuskan kejutan dan kecaman.

Dilahirkan dengan masalah kongenital, bayi berusia tiga bulan itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 6 Januari dan dikebumikan di Mexico City, kata pendakwa raya.

Beberapa hari kemudian, mayatnya ditemui oleh seorang banduan yang mencari bahan kitar semula dalam bekas sampah di sebuah penjara di negeri Puebla sekitar 130km jaraknya.

“Ia adalah kes luar biasa dan tiada rekod yang mempunyai ciri sama,” kata Ulises Lara, jurucakap pejabat pendakwa Mexico City, kepada akhbar.

Gabenor Puebla Miguel Barbosa berkata 21 orang ditahan setakat ini, selepas waran dikeluarkan terhadap 23 suspek termasuk penyelia dan pengawal di penjara itu.

Beliau melabel mereka yang bertanggungjawab sebagai “syaitan” dan juga memecat ketua keselamatan dan penjaranya.

Penjara Mexico penuh dengan jenayah dan keganasan kerana kehadiran ahli kumpulan jenayah yang bersaing.

Pada Selasa, pertempuran antara banduan di sebuah penjara di negeri barat Colima menyebabkan lapan maut dan tujuh cedera, kata pihak berkuasa. – AFP, 26 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen