Riyadh-Bangkok pulih semula hubungan diplomatik


ARAB Saudi dan Thailand pada Selasa mengumumkan sudah menjalin semula hubungan diplomatik, selepas lebih tiga dekad hubungan dingin dikaitkan dengan kecurian barang kemas dari istana Arab Saudi.

Janitor kelahiran Thailand, Kriangkrai Techamong mencuri permata berharga AS$20 juta pada 1989 dari rumah seorang putera Arab Saudi, mencetuskan pertelingkahan antara negara yang digelar “Blue Diamond Affair”.

Kedua-dua negara mengumumkan dalam satu kenyataan bersama “ikatan semula hubungan diplomatik sepenuhnya” semasa lawatan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha ke Riyadh.

“Langkah bersejarah ini adalah hasil usaha sekian lama di peringkat berbeza untuk mewujudkan semula keyakinan bersama dan hubungan mesra,” tambah kenyataan bersama itu, selepas pertemuan antara perdana menteri Thailand dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.

Sementara itu, Saudi Airlines mengumumkan penerbangan ke Thailand akan disambung semula pada Mei.

Thailand berulang kali berusaha memulihkan hubungan diplomatik, yang sebahagiannya untuk memberi manfaat kepada industri pelancongan negara yang penting, tetapi Arab Saudi sekian lama menuduh polis Thai tidak seirus melakukan siasatan ke atas kecurian itu, dengan mendakwa batu permata yang dicuri diambil oleh pegawai kanan.

Polis Thailand kemudian memulangkan beberapa barang kemas tetapi pegawai Arab Saudi mendakwa kebanyakannya adalah palsu, manakala keberadaan batu permata paling berharga—berlian biru 50 karat yang jarang ditemui—masih tidak diketahui.

Riyadh menghantar seorang ahli perniagaan untuk menyiasat pada 1990 tetapi beliau menghilangkan diri di Bangkok beberapa hari selepas tiga diplomat Arab Saudi ditembak mati di bandar itu.

Pada 2014, kerana kekurangan bukti, kes digugurkan terhadap lima lelaki, termasuk seorang anggota kanan polis Thailand, yang dituduh terlibat dalam pembunuhan ahli perniagaan Arab Saudi itu.

Kriangkrai menjalani hukuman penjara lima tahun kerana mencuri barang kemas dan menjual kebanyakannya sebelum ditangkap. Beliau menjadi sami pada 2016. – AFP, 26 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen