KRISIS pengusiran yang dihadapi beberapa tokong gua Buddha dan Tao di Perak turut memberi laluan kepada pengiktirafan rasmi daripada kerajaan negeri, kata pengurus rumah ibadat itu.
Chan Kwai Hoong, pengerusi jawatankuasa pengurusan Tokong Nam Thean Tong yang berusia 155 tahun berkata ini bergantung kepada perbincangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menangani isu itu selepas pengumuman pengusiran awal bulan ini menimbulkan bantahan.
“Ia boleh menjadi rahmat terselindung kerana tokong kami tidak memiliki sebarang surat pemilikan tanah dan hak perundangan selama lebih 100 tahun,” kata Chan.
“Apabila berita (perintah pengusiran) pertama kali diumumkan, kami terkejut. Tetapi selepas berfikir dengan lebih mendalam, kami kini melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan pengiktirafan akhirnya.”
Selama bertahun-tahun, Tokong Nam Thean Tong, yang dibuka pada 1867, telah memohon kepada pihak berkuasa berkaitan sebanyak tiga kali untuk mendapatkan surat hak milik, tetapi tidak berjaya.
Ini sekali gus menafikan hak pemilikan geran atau dana kerajaan seperti rumah ibadat agama lain yang mempunyai dokumentasi tersusun.
Tokong itu bertahan menerusi sumbangan, yang digunakan untuk mengubah bangunan kayu pada asalnya kepada struktur konkrit bertetulang keluli besar seperti apa yang ada pada hari ini.
Gua di dalam juga mempunyai struktur tetulang dan menjalani penyelenggaraan tetap yang ketat bagi menjamin keselamatan penggunanya.
Pada minggu pertama Januari lalu, 19 tokong gua menerima notis daripada Jabatan Tanah dan Galian Perak untuk mengusir mereka dalam tempoh 30 hari.
Tokong Nam Thean Tong menerima notis pada 7 Januari.
Selepas bantahan dibuat termasuk campur tangan parti kerajaan mesra masyarakat Cina, MCA, notis berkenaan ditarik balik.
Bagaimanapun, ia menimbulkan kekeliruan selepas jabatan tanah dan galian menafikan isu penarikan semula notis pengusiran tersebut.
Menteri Besar Perak Saraani Mohamad berkata notis pengusiran dikeluarkan atas sebab keselamatan, mengiktiraf sensitiviti perkara itu dan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada parti politik kerajaan dan pembangkang.

Chan kini berharap jawatankuasa khas itu dapat bermesyuarat sejurus selepas Tahun Baharu Cina ini.
“Kami berharap Tokong Nam Thean Tong disenaraikan sebagai tapak warisan keagamaan kerana ia merupakan kuil tertua, tarikan pelancong dan mengandungi banyak barangan antik serta peninggalan budaya.
“Jika benar-benar tidak ada cara untuk menyenaraikannya dalam warta kerajaan, sekurang-kurangnya kami berharap kami boleh mendapatkan surat hak milik sementara selama 60 tahun untuk tokong itu,” kata Chan sambil menyifatkan ini sebagai penyelesaian menang-menang.
Chan berkata beliau memahami kebimbangan mengenai keselamatan tokong gua, sambil menyingkap semula kejadian pada 11 Januari 2009 di Tokong Sam Poh Tong yang terkenal, di mana tanah runtuh mengorbankan seorang dan memerangkap beberapa pelancong selama berjam-jam.
Tokong Buddha yang diasaskan pada 1890 itu dibuka semula setahun kemudian selepas kerja-kerja pemulihan dengan menelan belanja RM200,000.
Chan berkata Tokong Nam Thean Tong tidak pernah mengalami kemalangan dalam tempoh 155 tahun kerana langkah keselamatan diambil.
Jawatankuasa pengurusan tokong gua itu akan memastikan struktur dalamannya diubah secara minimum.
“Kami juga melakukan pemeriksaan dan mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali hujan, selain melakukan penyelenggaraan sekali setahun,” kata Chan sambil menambah kos penyelenggaraan tahunan sekurang-kurangnya RM10,000. – 26 Januari, 2022.
Berita penuh di sini
Komen