JUTAAN penduduk terputus bekalan elektrik selepas berlaku gangguan besar di tiga negara Asia Tengah pada Selasa susulan insiden yang tidak dinyatakan, kata pegawai di wilayah bekas Soviet.
Ibu kota Kyrgyzstan dan Uzbekistan serta hab ekonomi Kazakhstan Almaty terputus bekalan elektrik pada tengah hari waktu tempatan, dengan media dan pegawai melaporkan ia turut membabitkan hingga ke wilayah tiga negara.
Kementerian tenaga Uzbekistan berkata dalam satu kenyataan di saluran Telegram rasminya, gangguan bekalan elektrik tercetus oleh kemalangan di grid jana kuasa Kazakhstan.
“Akibat kemalangan besar di grid kuasa Republik Kazakhstan, berlaku gangguan bekalan elektrik di bandar (Kazakh selatan) Almaty, Shymkent, Taras, Turkestan (wilayah) dan kawasan berdekatan,” kata kenyataan itu.
“Grid kuasa Uzbekistan, yang disambungkan kepada Grid Kuasa Bersepadu, rosak akibat kemalangan yang membawa kepada perubahan mendadak dalam voltan dan frekuensi 530 talian dari Kazakhstan,” tambahnya.
Jurucakap kementerian tenaga Kyrgyzstan memberitahu AFP melalui telefon kejadian itu disebabkan kemalangan dalam grid tenaga serantau.
Negara Asia Tengah menyaksikan grid mereka dibebani oleh kemarau yang menjejaskan kapasiti kuasa hidro di Kyrgyzstan dan ledakan perlombongan mata wang kripto di rantau ini, terutamanya di Kazakhstan.
Kazakhstan Selatan, yang secara tradisinya mengalami defisit tenaga dan bergantung kepada bekalan dari utara negara terjejas dengan kemasukan mendadak itu.
Pembekal elektrik Kazakhstan KEGOS berkata “disebabkan ketidakseimbangan kecemasan yang ketara yang diwujudkan oleh sistem tenaga Asia Tengah (Uzbekistan, Kyrgyzstan), terdapat lonjakan kuasa untuk transit elektrik” antara grid di Kazakhstan.
Agensi berita Rusia RIA Novosti melaporkan lapangan terbang di Almaty, terus berfungsi seperti biasa, tetapi lapangan terbang Tashkent terpaksa dihentikan operasi kerana bekalan elektrik terputus.
Metro Tashkent, yang terbesar di rantau ini, juga berhenti berfungsi.
Lapangan terbang Bishkek berfungsi pada kapasiti yang berkurangan, lapor laman web tempatan 24.kg, memetik pengurusan lapangan terbang itu. – AFP, 25 Januari, 2022.
Komen