Malaysia jatuh 5 anak tangga dalam indeks persepsi rasuah


Noel Achariam

Malaysia memperoleh 48 daripada 100 mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021 berbanding skor pada 2020 iaitu 51. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2022.

MALAYSIA jatuh lima anak tangga ke kedudukan 62 daripada 180 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021.

Presiden Transparency International Malaysia Dr Muhammad Mohan berkata Malaysia memperoleh 48 daripada 100 mata dalam indeks itu berbanding skor pada 2020 iaitu 51.

Beliau berkata pada 2020 negara berada pada kedudukan 57 manakala pada 2019 berada pada kedudukan 51. Kedudukan 100 bermakna sangat bersih manakala sifar bermakna sangat korup.

Mohan menyalahkan reformasi institusi yang terhenti sebagai salah satu sebab mengapa Malaysia jatuh dalam indeks persepsi rasuah untuk tahun kedua berturut-turut.

Sebab lain katanya adalah tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan semasa dan sebelum ini untuk membendung rasuah politik dan mengukuhkan rekod hak asasi manusia.

“Sebagai contoh Akta Pembiayaan Politik yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen oleh dua kerajaan lepas masih belum direalisasikan.

“Selain itu draf Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis Bebas (IPCMC) disemak kepada versi yang tidak berkesan dinamakan semula Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

“Kematian dalam tahan secara tragis masih berlaku di lokap polis walaupun selepas RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dijalankan pada 2015,” katanya semasa pengumuman CPI 2021. 

Mohan juga berkata terdapat kekurangan kemahuan politik untuk memulihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi sebuah institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen seperti yang dicadangkan oleh masyarakat sivil pada 2015.

Isu lain kata Mohan ialah pembebasan personaliti berprofil tinggi dalam kes rasuah dan kurangnya kemahuan politik daripada pelbagai pentadbiran dalam memerangi rasuah.

“Pelantikan ahli politik tanpa pengalaman mengetuai syarikat berkaitan kerajaan, rang undang-undang perolehan kerajaan masih belum dibentangkan di Parlimen.

“Kekurangan kemajuan dalam pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan penemuan buruk serta kegagalan kerajaan diperhatikan dalam laporan tahunan ketua juruaudit.

“Kurangnya tindakan terhadap pegawai awam yang menyalahgunakan kedudukan mereka,” katanya. – 25 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen