2 remaja 13 tahun ditahan ketagih dadah, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

DUA remaja berusia 13 tahun adalah antara penagih dadah muda yang ditahan polis dalam operasi khas membanteras kegiatan salah guna dadah di seluruh negara hujung minggu lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Operasi antara Jumaat hingga Ahad lepas turut menahan 74 remaja bawah umur, termasuk yang menjadi penjual dadah atau tokan, katanya.

“Hasil operasi selama tiga hari, kami menahan seramai 5,200 orang atas pelbagai kesalahan termasuk dua remaja berusia 13 tahun yang didapati menagih dadah.

“Selain dua remaja itu, seramai 74 remaja bawah umur turut ditahan yang ada di antaranya adalah tokan dadah hasil operasi ke atas 367 sarang dadah di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, hari ini.

Lapan daripada remaja berkenaan masih bersekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, dan Kelantan.

Ops Tapis Khas memberi fokus kepada tokan dadah, sarang penagih, penagih tegar, pesalah yang dikehendaki atas kesalahan dadah dan pengedar dadah.

Daripada 5,200 orang yang ditahan, 942 adalah penjual sementara 2,893 adalah penagih dadah. Polis juga mengesan 201 orang yang memiliki rekod jenayah lampau, kata Ayob.

Mereka yang ditahan berumur antara 13 hingga 60 tahun, termasuk 213 wanita.

“Siasatan dijalankan mengikut pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya atas kesalahan mengedar, Seksyen 30(3) Akta Racun, dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

Ayob juga menegaskan pihaknya akan meneruskan Op Tapis Khas dari masa ke masa.

“Hasil perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Op Tapis Khas ini akan dijalankan sebulan sekali di semua kontinjen.

“Op Tapis Khas ini akan dijalankan oleh JSJN secara sendirian bagi membanteras ancaman dadah di kalangan masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya. – 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen