Salji terlalu tebal, Lapangan Terbang Istanbul tutup


Pusat beli-belah ditutup awal, perkhidmatan penghantaran makanan terjejas dan gerai makanan ditutup di Istanbul kerana pembekal tidak dapat melalui jalan yang dilitupi salji. – Gambar AFP, 25 Januari, 2022.

LAPANGAN Terbang Istanbul terpaksa ditutup berikutan Turki dan sebahagian rantau Mediterranean dilanda ribut salji sejak semalam.

Pihak berkuasa Lapangan Terbang Istanbul terpaksa menutup operasi selepas bumbung di terminal kargo runtuh akibat salji tebal, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Susulan penutupan itu, penerbangan dari Asia Barat dan Afrika dialihkan ke Eropah dan Asia.

Pihak berkuasa lapangan terbang dalam kenyataan berkata ribut salji turut menyebabkan semua penerbangan dibatalkan.

Pegawai pelancongan berkata penutupan lapangan terbang itu yang pertama selepas ia dibina untuk menjadi hab penerbangan baharu bagi Turkish Airlines dan menggantikan Lapangan Terbang Ataturk.

Sementara itu, ribut salji yang jarang berlaku itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus dan masalah lalu lintas.

Salji tebal mengakibatkan bencana kepada 16 juta penduduk di bandar terbesar Turki yang menyebabkan kereta merempuh satu sama lain, terbabas ketika menuruni jalan curam dan lebuh raya bertukar menjadi “medan letak kereta”.

Pejabat gabenor Istanbul berkata pemandu tidak dapat memasuki bandar itu dari Thrace, wilayah merentasi bahagian Eropah Turki ke sempadan baratnya dengan Bulgaria dan Greece.

Pusat beli-belah ditutup awal, perkhidmatan penghantaran makanan terjejas dan gerai makanan ditutup kerana pembekal tidak dapat melalui jalan yang dilitupi salji.

Ribut salji yang melanda kawasan tengah dan tenggara Turki turut melanda Syria, sekali gus menjejaskan penghuni kem pelarian di negara dilanda perang itu.

Sesi parlimen, sekolah dan pusat vaksinasi di Athens, Greece juga terpasa ditutup selepas suhu turun hingga paras -14 darjah Celsius. – AFP, 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen