SEKURANG-KURANGNYA 18 orang terbunuh dalam pertempuran antara dua kumpulan di sebuah kelab di bandar Sorong di wilayah Papua Barat Indonesia, kata polis pada Selasa, dengan kebanyakannya maut selepas tempat itu terbakar dalam keganasan.
“Pertempuran berlaku malam tadi (Isnin) pada 11 malam. Ia adalah lanjutan konflik daripada pertempuran pada Sabtu,” kata ketua polis Sorong Ary Nyoto Setiawan dalam satu kenyataan.
Seorang mangsa ditikam dan 17 lagi maut dalam kebakaran di kelab malam “Double O”, kata pegawai.
“Kami menemui 17 mayat di Double O, kesemuanya ditemui di tingkat dua. Kami memindahkan mayat ke Hospital Selebe Solu,” kata Ketua Bahagian Kesihatan Polis Sorong Edward Panjaitan.
Polis sedang menyiasat punca kebakaran.
“Kebakaran kelab itu bermula dari tingkat satu. Kami cuba memindahkan seramai mungkin orang, tetapi selepas bomba memadamkan api pagi ini, kami menemui beberapa mayat di sana,” kata ketua polis Setiawan.
Imej TV dari media tempatan memaparkan bangunan yang rentung dijilat api di belakang barisan polis dan kereta terbakar. – AFP, 25 Januari, 2022.
Komen