ENAM terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera akibat rempuhan di pintu masuk Stadium Olembe, di ibu negara Cameroon sebelum perlawanan Piala Negara-Negara Afrika bermula, semalam.
“Rempuhan di pintu masuk ke Stadium Olembe menyebabkan enam maut dan berpuluh-puluh lagi cedera,” menurut penyiar negara itu, CRTV.
Mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital Messassi di bandar itu selepas kejadian itu.
Kejadian dipercayai berlaku ketika penyokong berebut-rebut untuk masuk ke tempat duduk aras bawah stadium.
Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) berkata mereka akan menyiasat insiden berkenaan dan cuba mendapatkan butiran lanjut mengenainya.
Persekutuan berkata setiausaha agung CAF akan melawat penyokong yang cedera di hospital dan berunding dengan kerajaan Cameroon serta Jawatankuasa Penganjur berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, keadaan di stadium terkawal selepas perlawanan tamat dengan Cameroon menewaskan Comoros menerusi jaringan 2-1. – AFP, 25 Januari, 2022.
Komen