Kanak-kanak 8 tahun mangsa keganasan gengster


SEORANG kanak-kanak Mexico berusia lapan tahun yang baru saja berpindah ke Chicago mati selepas ditembak pada hujung minggu lalu, dalam insiden terbaru keganasan gangster di Amerika Syarikat (AS).

Melissa Ortega sedang berjalan bersama ibunya di kawasan Little Village di Chicago pada petang Sabtu ketika kumpulan gangster sedang berbalas tembakan, kata polis.

Mangsa dan ibunya kemudian berlari mencari perlindungan di sebuah bank berhampiran, tetapi Ortega terkena tembakan dua kali di kepalanya dan terbunuh.

Polis berkata penembak menyasarkan seorang lelaki berusia 26 tahun, disyaki ahli kumpulan gangster jalanan Gangster Two Six yang turut terkena tembakan dan dirawat di hospital.

Kumpulan Gangster Two Six berbalah dengan dua lagi geng tempatan – Latin Saints dan Latin Kings.

Chicago, bandar ketiga terbesar di AS, merekodkan jumlah kes bunuh tertinggi iaitu lebih 836 kes pada 2021.

Sebanyak 34 kes bunuh dilaporkan setakat ini pada tahun ini, menurut Chicago Tribune.

Mangsa akan dikebumikan di Los Sauces di Mexico.

Kematian Ortega berlaku kurang dua minggu daripada pembunuhan dua remaja lelaki berusia 14 tahun di dua insiden berasingan di Chicago.

Jason Ivy sedang berdiri di tepi jalan di West Side pada 13 Januari ketika saksi ternampak dua individu datang dan menembaknya dua kali di bahagian dada.

Beberapa jam kemudian, James Sweezer sedang berjalan dengan rakannya di South Side apabila seseorang yang sedang memandu menembaknya di kepala. – AFP, 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen