Presiden Malawi pecat Kabinet kerana rasuah


Presiden Malawi Lazarus Chakwera memecat keseluruhan Kabinetnya susulan masalah rasuah dan akan umum Kabinet baharu dalam tempoh dua hari. – Gambar EPA, 25 Januari, 2022.

PRESIDEN Malawi Lazarus Chakwera memecat keseluruhan Kabinetnya susulan masalah rasuah, berjanji untuk menentang semua bentuk salah laku yang melanggar undang-undang dilakukan penjawat awam.

“Saya membubarkan Kabinet saya berkuatkuasa serta-merta, dan semua fungsi Kabinet kembali ke pejabat saya hingga saya umum Kabinet yang disusun semula dalam tempoh dua hari,” kata Chakwera.

Beliau berkata Kabinet baharu akan mengetepikan Menteri Tanah Kezzie Msukwa, yang ditahan bulan lalu kerana kes rasuah.

“Ini bagi membolehkan beliau menguruskan pertuduhan rasuah yang dihadapinya di mahkamah dan membersihkan namanya di situ,” kata Chakwera.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat minggu lalu bersama dua kumpulan berpengaruh, Episcopal Conference of Malawi dan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam, yang terdiri daripada kumpulan gereja dan bertindak sebagai pemantau kerajaan.

Kedua-dua kumpulan itu meluahkan kebimbangan kerana presiden tidak tegas dalam menentang rasuah.

Chakwera menang pada pilihan raya 2020 dengan janji manifesto menentang rasuah di negara miskin di selatan Afrika itu.

Penahanan menteri tanah itu adalah skandal rasuah kedua yang dibuat dalam tempoh kurang sebulan.

Pada awal Disember, siasatan rasuah dilancarkan terhadap bekas menteri kewangan Malawi dan bekas gabenor bank pusat yang ditahan atas tuduhan memanipulasi akaun bagi mendapatkan pinjaman daripada IMF. – AFP, 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen