Seorang maut, insiden tembakan rambang di universiti di Jerman


Polis berkawal di luar dewan kuliah di Universiti Heidelberg di Jerman susulan insiden tembakan rambang dilakukan seorang pelajar berusia 18 tahun. – Gambar EPA, 25 Januari, 2022.

SEORANG pelajar berusia 18 tahun melepaskan tembakan rambang di dewan kuliah di Universiti Heidelberg di Jerman, semalam, menyebabkan seorang wanita terbunuh dan tiga yang lain cedera.

Pelajar di dalam dewan itu bertempiaran lari ketika insiden itu dan suspek kemudian menembak dirinya.

Polis berkata insiden berlaku dalam kelas kimia organik untuk pelajar biosains, di mana suspek adalah pelajar jurusan itu, kata presiden universiti Bernhard Eitel.

Motif serangan masih tidak jelas, tetapi polis berkata ada petanda awal menunjukkan suspek pernah mengalami masalah psikiatrik sebelum ini.

Penembak itu ada menghantar pesanan teks yang membimbangkan kepada bapanya sebelum dia mengamuk.

Dalam pesanan itu, suspek menulis “orang ramai perlu dihukum sekarang”, kata Ketua Polis Mannheim Siegfried Kollmar pada sidang akhbar. Di dalam mesej itu suspek juga berkata dia tidak mahu ditanam di perkuburan, tetapi di laut.

Seramai 30 pelajar hadir pada kelas berkenaan ketika insiden itu berlaku, kata Kollmar.

Polis menerima panggilan dari dalam dewan kuliah pada 12.24 tengah hari dan anggota tiba di tempat kejadian dalam tempoh 10 minit.

Mereka menemui mayat penembak di luar bangunan itu. – AFP, 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen