SEKURANG-KURANGNYA dua terbunuh dalam gempa bumi bermagnitud 5.3 di Haiti awal pagi semalam, kata pihak berkuasa.
Di Anse-a-Veau, bandar pesisiran pantai kira-kira 130km dari ibu kota Port-au-Prince, seorang wanita maut apabila ditimpa dinding. Di Fonds-des-Negres, 20km di selatan, kematian kedua berpunca daripada tanah runtuh.
Di daerah Nippes, lokasi pertama gempa itu, hampir 200 rumah musnah dan 600 yang lain rosak teruk, menurut pihak berkuasa.
Umur dua mangsa yang maut tidak didedahkan oleh jabatan perlindungan awam Haiti.
Pasukan penyelamat melaporkan kira-kira 50 tercedera.
Dilaporkan berlaku 8.16 pagi waktu tempatan, gempa bumi terasa di ibu kota dan diikuti dengan berpuluh-puluh lagi gegaran, termasuk gempa kedua dengan magnitud 5.1 kurang sejam kemudian.
Pada Ogos, gempa bumi berukuran 7.2 magnitud menyebabkan lebih 2,200 terbunuh dan puluhan ribu rumah musnah di negara itu dan masih dalam proses pemulihan selepas gempa pada 2010.
Sebahagian kawasan pinggir Port-au-Prince masih belum pulih dibangunkan semula selepas gempa bumi 2010, yang menyebabkan lebih 200,000 maut dan 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal. – AFP, 25 Januari, 2022.
Komen