Lelaki China ditembak di selatan Pakistan


Dua remaja melintasi mural dinding memaparkan pemuzik Sufi Amjad Sabri di Karachi. Hari ini, dua warga China ditembak oleh penembak yang tak dikenali di bandaraya ini. Amjad juga ditembak mati oleh penembak tak dikenali pada 22 Jun lalu, yang mencetus kemarahan rakyat negara itu. – Gambar AFP, 5 Februari, 2018.

PENEMBAK tak dikenali telah melepaskan tembakan terhadap dua warga China selain mencederakan salah seorang dari mereka di selatan Karachi, Pakistan, kata polis.

Dua warga China itu berada di dalam kereta di kawasan Zamzama apabila penyerang yang memandu kenderaan lain menembak mangsa.

Salah seorang warga China itu terkena dua das tembakan di kepala dan di kaki, kata pegawai polis Azad Khan kepada AFP.

“Nampaknya ia (serangan itu) macam diatur,” tambah Khan. Polis menjumpai sembilan bekas peluru.

Dalam kejadian itu, seorang warga Pakistan turut cedera ringan.

Sementara itu, pegawai hospital berkata warga China yang ditembak di kepala itu dalam keadaan kritikal.

“Kami cuba yang terbaik untuk selamatkan nyawanya tapi keadaan beliau sangat kritikal,” kata ketua hospital kerajaan, doktor Seemi Jamali kepada AFP.

Dua warga itu bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran. Kata polis, salah seorang dari mereka dikenali sebagai Chen Zhu, 46 tahun.

Beribu jurutera dan juruteknik China bekerja di Pakistan.

China sedang memperkukuhkan pelaburannya sebagai sebahagian daripada projek bernilai AS$54 bilion dikenali sebagai China-Pakistan Economic Corridor.

Projek itu memperbaiki infrastruktur, jana kuasa dan jaringan pengangkutan antara Xinjiang dan Pakistan. – AFP, 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen