Iran dapat semula hak mengundi selepas bayar tunggakan yuran PBB 


Iran hilang hak untuk mengundi dalam Perhimpunan Agung berikutan yuran keahlian berjumlah AS$18.4 juta tidak dibayar.– Gambar EPA, 24 Januari, 2022.

IRAN telah mendapat semula hak mengundi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas membayar yuran keahlian menggunakan aset Iran yang dibekukan di Korea Selatan, kata Wakil Tetap Iran ke PBB Majid Takht-Ravanchi pada Ahad.

Iran hilang hak untuk mengundi dalam Perhimpunan Agung berikutan yuran keahlian berjumlah AS$18.4 juta tidak dibayar.

“Iran, sebagai anggota aktif PBB, sentiasa komited membayar yuran keahliannya tepat pada masanya dan kami telah membuktikannya menerusi tindakan.

“Malangnya, untuk tahun kedua berturut-turut, kami menghadapi masalah pembayaran yuran keahlian kerana sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Iran,” utusan itu dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Mehr.

Iran memperoleh hak mengundi semula pada Isnin selepas transaksi selesai, menurut Sputnik. Kementerian Luar Korea Selatan mengesahkan bahawa pembayaran yuran keahlian Iran sebanyak AS$18 juta dibuat menerusi akaunnya di Korea Selatan.

Pada 2021, hak mengundi Iran digantung buat sementara waktu selepas AS menyekat sumber kewangannya, mendorong Tehran memulakan rundingan dengan PBB mengenai isu itu. 

Salah satu cadangan Tehran adalah untuk membayar hutang menggunakan aset Iran di Korea Selatan. – Bernama, 24 Januari, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen