ARTIS grafik Fahmi Reza memberitahu beliau dipanggil ke Bukit Aman esok untuk disiasat berhubung karya satiranya yang dimuat naik ke media sosial awal tahun ini.
Beliau menyiarkan karya satira bertajuk House of Balak di Facebook, Twitter dan Instagram pada 3 Januari, tidak lama selepas banjir besar di Pahang pada hujung Disember 2020 yang menyaksikan lambakan kayu balak terdampar dibawa air.
“Polis sudah buka kertas siasatan baru tahun 2022 terhadap aku bawah Akta Hasutan dan #AktaSakitHati kerana grafik satira pertama yang aku post tahun ni pasal #HouseOfBalak.
“Macam biasa aku dipanggil untuk disoal siasat esok, kali ini di ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Kita jumpa esok PDRM,” tulisnya di media sosial.
The Malaysian Insight sedang menghubungi pihak polis untuk pengesahan dan butiran lanjut mengenai siasatan.
Fahmi, 44, sebelum ini beberapa kali disiasat polis kerana karya satiranya, termasuk didakwa di mahkamah pada 2016 berhubung imej Najib Razak yang dilukis sebagai badut.
Pada April 2021, Fahmi turut disiasat atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Beliau direman sehari untuk siasatan.
Pada Jun 2021, beliau disiasat pula berhubung dakwaan menghina Menteri Besar Perak Saarani Mohamad terkait satu kenyataan mengenai bantuan komputer kepada rakyat.
Pada Ogos 2021, pihak polis memaklumkan kepadanya siasatan dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong ditutup dan tiada pendakwaan dikenakan terhadapnya. – 24 Januari, 2022.
Komen