Eropah mungkin menuju fasa tamat pandemik, kata WHO


Omicron membawa pandemik Covid-19 ke fasa baharu dan dilihat mampu membawa Eropah menamatkan penularannya. – Gambar EPA, 24 Januari, 2022.

VARIAN Omicron membawa pandemik Covid-19 ke fasa baharu dan dilihat mampu membawa Eropah menamatkan penularannya, kata Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge.

“Adalah munasabah rantau ini sedang bergerak ke arah penamat pandemik ini. Apabila lonjakan jangkitan Omicron melanda seluruh Eropah pada masa ini reda, imuniti global akan terbina selama beberapa minggu dan bulan.

“Ia sama ada kita berterima kasih kepada vaksin atau kerana orang ramai kini mempunyai imuniti akibat jangkitan dan juga penurunan bermusim,” katanya.

Omicron boleh menjangkiti 60% penduduk Eropah menjelang Mac dan menjangkakan ada “tempoh bertenang” sebelum Covid-19 mungkin kembali menjelang akhir tahun ini.

“Tetapi tidak semestinya wabak itu muncul semula,” katanya sambil menegaskan masih terlalu awal untuk menganggap wabak itu berada pada fasa endemik.

Semalam, saintis terkemuka AS Anthony Fauci menyatakan keyakinan sama apabila mendapati penurunan kes Covid-19 menurun agak mendadak di beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS) dan berpandangan semuanya kelihatan baik.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran supaya tidak terlalu meletakkan keyakinan yang tinggi.

Beliau berkata jika penurunan bilangan kes baharu di kawasan seperti timur laut AS berterusan, perubahan akan mula dilihat di seluruh negara.

Pejabat WHO Afrika turut berkata pada minggu lalu, kes Covid-19 turun secara ketara di rantau itu dan kematian berkurang buat kali pertama sejak gelombang keempat virus yang didominasi Omicron itu mencapai kemuncaknya. – AFP, 24 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen