10,000 amah Indonesia masuk tengah Feb, kata menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata sejumlah 10,000 pembantu rumah warga Indonesia akan dibawa masuk ke Malaysia pertengahan Februari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2022.

Sejumlah 10 ribu pembantu rumah warga Indonesia akan dibawa masuk ke Malaysia pertengahan Februari ini, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Mereka akan dibawa masuk seawal seminggu selepas Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) di Bali 7 dan 8 Februari berhubung pengambilan dan penempatan pekhidmat domestik Indonesia. 

“Selepas Mou ditandatangani, Malaysia dan Indonesia juga bersetuju untuk projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 orang dan dijangka akan dilaksanakan dalam masa satu minggu.

“Projek rintis ini amat penting dan signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan Mou dan seterusnya menambah baik sebarang kelemahan yang timbul,” katanya dalam kenyataan.

Saravanan berkata, keputusan itu dibuat hasil pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya, Menteri Tenaga Kerja Indonesia Ida Fauziyah, di Jakarta.

“MoU telah pun dipersetujui termasuklah isu-isu utama seperti seorang amah sebuah rumah, sistem satu saluran, dan gaji pembantu rumah.

“Perbincangan berhubung seorang amah sebuah rumah telah dipersetujui untuk menggantikan cadangan seorang amah satu tugas di mana satu pembantu rumah boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang. 

“Manakala sistem satu saluran dipersetujui oleh kedua pihak sebagai saluran tunggal kemasukan pembantu rumah ke Malaysia,” katanya.

Saravanan juga berkata isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya kos penerbangan dan kuarantin.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan banyak permohonan diterima untuk mendapatkan pembantu rumah warga asing di Malaysia namun tidak dapat dipenuhi kerana ramai sudah pulang ke negara asal.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) Foo Yong Hooi berkata ketiadaan pembantu rumah menyebabkan banyak keluarga di negara ini tertekan.

Foo memberitahu The Malaysian Insight, jumlah pembantu rumah di Malaysia berkurangan daripada 300,000 orang kepada tidak sampai 90,000 orang selepas pandemik Covid-19 melanda.

Di samping itu, kata Saravanan, Indonesia juga bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan.

Ini sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam

sektor perladangan secara pengecualian khas seperti keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April tahun lalu. – 24 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen