Majikan sanggup naikkan gaji demi kekalkan pekerja, kata kumpulan PKS


Khoo Gek San

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu (ACCCIM) Koong Lin Loong, yang mengetuai jawatankuasa PKS beliau melihat syarikat menawarkan kenaikan gaji antara 5% dan 10%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2022.

MAJIKAN dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setakat ini sanggup menaikkan gaji untuk mengekalkan pekerja, kata kumpulan industri.

Menurut kumpulan itu, ia susulan kekurangan pekerja akibat pandemik Covid-19 hingga mengakibatkan mereka tertekan untuk menjalankan operasi.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata keupayaan membayar gaji lebih tinggi masih bergantung kepada kewangan syarikat, akan tetapi majikan mula berbuat demikian terutamanya bagi pekerja berpengalaman yang sudah biasa dengan operasi.

“Julat kenaikan gaji adalah antara 5% hingga 17%, bergantung kepada kemampuan syarikat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengambil pekerja baharu adalah sukar, berikutan kekurangan buruh disebabkan pembekuan terhadap pengambilan pekerja asing baharu ketika pandemik Covid-19.

Namun, kerajaan mula menarik balik pembekuan secara beransur-ansur, dengan membenarkan pengambilan untuk sektor tertentu terlebih dahulu seperti perladangan dan komoditi.

Ding berkata, mengupah penduduk tempatan adalah sukar kerana mereka enggan bekerja lebih masa.

“Sedangkan dengan pekerja asing, mereka sanggup bekerja lebih masa setiap hari untuk mendapatkan pendapatan lumayan.”

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu (ACCCIM) Koong Lin Loong, yang mengetuai jawatankuasa PKS beliau melihat syarikat menawarkan kenaikan gaji antara 5% dan 10%.

Mereka berjaya meneruskan operasi ketika pandemik dan mempunyai kedudukan kewangan yang baik.

“Jika anda melihat sektor lain menderita, seperti hospitaliti dan pelancongan, maka anda tidak sepatutnya mengharapkan kenaikan gaji di sana,” katanya.

Tinjauan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada 2021 mendapati lebih 60% syarikat menaikkan gaji “untuk semua atau beberapa” pekerja – di peringkat eksekutif – berbanding tahun sebelumnya.

Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman berkata 65.2% daripada mereka berbuat demikian berbanding 58.41% pada 2020.

Bagi kakitangan bukan eksekutif, 66.4% daripada syarikat dalam tinjauan itu juga menaikkan gaji, lebih tinggi berbanding 61.7% pada 2020.

Tambahnya, purata kenaikan gaji pada 2021 bagi kedua-dua peringkat, eksekutif dan bukan eksekutif adalah sekitar 4.4%.

Lebih 200 syarikat perkilangan dan bukan perkilangan mengambil bahagian dalam tinjauan itu, dengan sejumlah 23,448 eksekutif dan 66,420 kakitangan bukan eksekutif.

Syed Hussain berkata Malaysia tidak mengalami “gelombang peletakan jawatan” seperti dilaporkan di Amerika Syarikat.

Perolehan pekerja di Malaysia masih rendah, dengan orang ramai meneruskan kerja selagi boleh, disebabkan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik.

Syed Hussain berkata, pengangguran pada November tahun lepas ialah 4.3%.

“Pekerja yang berfikir untuk meninggalkan syarikat mereka (sekarang) perlu mempertimbangkan risiko sama ada pekerjaan baharu mereka akan lebih selamat daripada pekerjaan sekarang.

“Varian Omicron dan ketidakpastian pandemik juga membuatkan orang ramai enggan untuk menukar kerja.”

Masih terdapat peletakan jawatan walaupun ekonomi perlahan, kerana sesetengah pekerja mungkin keberatan untuk kembali ke pejabat di syarikat yang telah menghentikan urusan kerja dari rumah dan menuntut pekerja hadir ke pejabat, kata Syed Hussain.

Sesetengah pekerja kini memilih pekerjaan yang lebih fleksibel atau menyertai ekonomi gig.

Walaupun tinjauan MEF untuk 2021 menunjukkan lebih ramai majikan menaikkan gaji, masih terlalu awal untuk meramalkan perkara yang sama pada 2022.

Perniagaan mungkin disambung semula tetapi gangguan baru seperti banjir baru-baru ini mungkin semakin menghimpitkan.

“Majikan masih memberi tumpuan untuk memastikan perniagaan mereka mampan dan akan terus menangani ketidaktentuan aliran tunai.

Perusahaan mikro dan PKS masih memerlukan sokongan daripada pihak bank untuk keluar daripada masalah,” kata Syed Hussain. – 24 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen