Bantuan kemanusiaan agenda utama lawatan Taliban ke Barat


Kebuluran kini mengancam 23 juta rakyat Afghanistan, atau 55% daripada penduduk, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Gambar EPA, 23 Januari, 2022.

HAK asasi manusia dan krisis kemanusiaan di Afghanistan hingga menyebabkan kebuluran ke atas jutaan rakyatnya akan menjadi tumpuan pada rundingan pembukaan antara pihak Taliban, Barat dan anggota masyarakat sivil Afghanistan di Oslo, hari ini.

Dalam lawatan pertama mereka ke Eropah sejak kembali berkuasa pada Ogos, Taliban akan bertemu pihak berkuasa Norway serta wakil Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Jerman, Itali dan Kesatuan Eropah.

Delegasi Taliban akan diketuai Menteri Luar Amir Khan Muttaqi.

Agendanya ialah “pembentukan sistem politik perwakilan, tindak balas kepada krisis kemanusiaan dan ekonomi yang mendesak, kebimbangan keselamatan dan memerangi keganasan serta hak asasi manusia terutamanya pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita”, kata seorang pegawai AS.

Kumpulan pejuang Islam itu digulingkan pada 2001 tetapi dengan pantas kembali berkuasa pada Ogos ketika tentera antarabangsa memulakan pengunduran terakhir mereka.

Taliban berharap rundingan itu akan membantu “mengubah suasana perang… menjadi keadaan aman”, kata jurucakap kerajaan Zabihullah Mujahid kepada AFP semalam.

Belum ada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban, dan Menteri Luar Norway Anniken Huitfeldt menegaskan bahawa rundingan itu “tidak akan mewakili pengesahan atau pengiktirafan Taliban”.

“Tetapi kita mesti bercakap dengan pihak berkuasa di negara ini. Kita tidak boleh membiarkan keadaan politik membawa kepada bencana kemanusiaan yang lebih teruk lagi,” kata Huitfeldt.

Terpaksa libatkan kerajaan

Keadaan kemanusiaan di Afghanistan merosot secara drastik sejak Ogos.

Bantuan antarabangsa, yang membiayai kira-kira 80% daripada bajet Afghanistan terhenti secara tiba-tiba dan Amerika Syarikat membekukan $9.5 bilion aset di bank pusat Afghanistan.

Pengangguran semakin meningkat dan gaji kakitangan awam tidak dibayar selama berbulan-bulan di negara ini, selain dilanda musim kemarau yang teruk.

Kebuluran kini mengancam 23 juta rakyat Afghanistan, atau 55% daripada penduduk, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sambil menambah organisasi itu memerlukan $4.4 bilion daripada negara penderma tahun ini untuk menangani krisis kemanusiaan.

“Adalah satu kesilapan untuk menyerahkan rakyat Afghanistan kepada hukuman kolektif hanya kerana pihak berkuasa tidak berkelakuan dengan betul”, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, hari ini. – AFP, 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen