Undian awal pilihan raya umum Portugal bermula


Perdana Menteri Antonio Costa ditemu bual wartawan ketika menjalan kempen pada pilihan raya umum Protugal. Seramai 10 juta pengundi berdaftar di Portugal dan luar negara akan menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada 30 Januari ini. – Gambar EPA, 23 Januari, 2022.

PENGUNDIAN awal bagi pilihan raya umum Portugal bermula hari ini dengan sokongan menunjukkan penyandang, parti Sosialis masih di hadapan biarpun pencabar terdekat semakin mengekori rapat.

Lebih 300,000 pengundi mendaftar untuk mengundi seminggu lebih awal, dengan pusat mengundi dibuka pada 8:00 pagi (waktu tempatan).

Pilihan pengundian awal disediakan tahun ini untuk mengurangkan kesesakan pada hari pilihan raya, Ahad depan, akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Antonio Costa, yang memimpin kerajaan minoriti Sosialis selama dua penggal berturut-turut sejak 2015, dijangka membuang undi di bandar utara Porto kira-kira 9.30 pagi (waktu tempatan).

Pilihan raya mengejut ini diadakan selepas beliau gagal mendapatkan sokongan untuk belanjawan 2022 daripada dua parti berhaluan kiri yang menyokong kerajaannya.

Ia adalah kali pertama belanjawan ditolak sejak ahli EU kembali kepada sistem demokrasi pada 1974.

Parti Sosialis mempunyai kira-kira 38% sokongan, berbanding hanya lebih 30% untuk pembangkang utama PSD, yang akan menyebabkan Costa sekali lagi kehilangan majoriti di Parlimen, menurut tinjauan yang disusun Radio Renascenca.

Tetapi tinjauan yang dijalankan dalam beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan jurang mengecil, dengan sekurang-kurangnya satu meletakkan kedua-dua parti dalam keadaan seri apabila margin kesilapan diambil kira.

Pilihan raya itu menyaksikan keuntungan bagi parti sayap kanan Chega, yang memasuki Parlimen buat kali pertama dengan satu kerusi pada pilihan raya umum lalu pada 2019.

Pengundi memberikan sokongan hampir tujuh peratus, yang akan menjadikannya kuasa ketiga terbesar di Parlimen. – AFP, 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen