Indonesia semak tatacara perjalanan umrah selepas 87 jemaah positif Covid-19


Jemaah Indonesia diwajibkan berada di asrama haji sehari sebelum keberangkatan dan kemudian menjalani kuarantin 7 hari sebaik pulang ke tanah air. – Gambar EPA, 23 Januari, 2022.

INDONESIA menyemak semula pelaksanaan sistem satu pintu bagi keberangkatan dan ketibaan bagi perjalanan umrahnya selepas 87 jemaah dikesan positif Covid-19, Jumaat lalu, lapor media di republik itu.

Sebanyak 10 daripada mereka disyaki terkena jangkitan varian Omicron.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun sebelum ini menegaskan tidak akan menyekat perjalanan ke luar negara bagi mengerjakan umrah sebaliknya akan mengemas kini dan memperketatkan tatacara keselamatan kesihatan.

Ketua pengarah urusan haji dan umrah di Kementerian Agama Hilman Latief berkata semakan semula itu masih berjalan dan adalah lanjutan daripada proses semasa, sejak Indonesia membenarkan perjalanan jemaah umrah 8 Januari lalu.

Sistem satu pintu menetapkan keberangkatan jemaah umrah pada masa ini diuruskan secara terpusat di asrama haji, termasuk saringan kesihatan serta pendaftaran masuk pesawat dan imigresen.

Jemaah juga diwajibkan berada di asrama haji sehari sebelum keberangkatan dan kemudian menjalani kuarantin 7 hari sebaik pulang ke Indonesia.

Awal minggu lalu, Menteri Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas menegaskan kerajaan Indonesia tidak akan menyekat perjalanan jemaah umrah di tengah kebimbangan kesannya terhadap penularan Covid-19.

“Tidak ada pemberhentian umrah. Saya juga sudah meminta kepada ketua pengarah penyelenggaraan haji dan umrah agar keberangkatan jemaah tetap menerapkan one gate policy,” katanya, dipetik Antara.

Setakat 19 Januari, lebih 3,900 jemaah dari Indonesia berangkat ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah.

Kementerian Agama Indonesia menetapkan untuk terus menghantar jemaah susulan keputusan Arab Saudi yang masih membuka pintu negaranya untuk menerima ketibaan warganegara luar. – 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen