Ukraine kecam Jerman enggan bekalkan senjata ke Kyiv


Dengan puluhan ribu tentera Russia berkumpul di sempadan Ukraine, kebimbangan semakin meningkat kemungkinan konflik besar tercetus di Eropah. – Gambar AFP, 23 Januari, 2022.

UKRAINE mengecam tindakan Jerman yang enggan membekalkan senjata ke Kyiv serta menggesa Berlin berhenti menggugat perpaduan dan memberi galakan kepada Presiden Russia Vladimir Putin di tengah-tengah kebimbangan pencerobohan Russia.

Dengan puluhan ribu tentera Russia berkumpul di sempadan Ukraine, kebimbangan semakin meningkat kemungkinan konflik besar tercetus di Eropah.

Seruan Ukraine kepada sekutu barat untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya menyaksikan Amerika Syarikat (AS), Britain dan negara Baltik bersetuju menghantar senjata ke Kyiv, termasuk peluru berpandu antikereta kebal dan antipesawat.

Di Twitter, Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata kenyataan Jerman mustahil mereka membekalkan senjata pertahanan ke Ukraine tidak seiring dengan situasi keselamatan semasa.

Kuleba menekankan kini penyatuan di barat berkaitan isu dengan Russia lebih penting daripada sebelumnya.

“Rakan kongsi Jerman mesti berhenti menjejaskan perpaduan dengan kata-kata dan tindakan sedemikian sehingga mendorong Putin melancarkan serangan baharu ke atas Ukraine.

“Ukraine berterima kasih kepada Jerman atas sokongan diberikan, namun kenyataan semasanya mengecewakan,” katanya.

Kementerian Luar Ukraine dalam satu kenyataan menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan kerajaan Jerman untuk menyediakan senjata pertahanan kepada Ukraine.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Jerman Christine Lambrecht berkata Berlin akan menghantar hospital medan ke Ukraine, sambil kekal menolak gesaan Kiev supaya menghantar senjata.

Berlin juga sudah menghantar bantuan alat pernafasan ke Ukraine dan tentera negara itu yang cedera parah kini dirawat di Hospital Bundeswehr, jelas menteri itu kepada akhbar Welt am Sonntag.

Moscow menegaskan ia tidak mempunyai rancangan untuk menyerang Ukraine namun pada masa sama sudah menetapkan beberapa siri tuntutan keselamatan termasuk larangan ke atas Ukraine menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara sebagai pertukaran untuk de-eskalasi. – AFP, 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen