7 maut, 9 cedera insiden letupan bas di Afghanistan


Herat ialah bandar ketiga terbesar Afghanistan, terletak berhampiran sempadan Iran, tetapi kekal aman dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – Gambar EPA, 23 Januari, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA tujuh maut dalam insiden bas meletup di kawasan dihuni masyarakat minoriti Syiah di bandar Herat di barat Afghanistan semalam.

Bom yang dilekatkan pada tangki minyak bas itu turut menyebabkan sembilan yang lain cedera.

“Empat wanita antara tujuh yang terbunuh,” kata ketua hospital wilayah Herat, Arif Jalali.

Letupan itu disahkan pejabat perisikan Herat.

“Laporan awal menunjukkan ia bom yang dilekatkan pada tangki minyak kenderaan penumpang,” kata jurucakap pejabat perisikan Herat, Sabit Harwi.

Polis Herat dan jabatan kebudayaan turut mengesahkan letupan bom itu. Tiada mana-mana kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab dalam dalam serangan itu.

Tahap keselamatan di Afghanistan bertambah baik sejak pemberontakan selama dua dekad oleh Taliban berakhir dengan penawanan ke atas Kabul pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, beberapa serangan dilaporkan setiap minggu di seluruh negara, termasuk didakwa dilakukan kumpulan IS.

IS kerap menyasarkan masyarakat Syiah Hazara di negara itu dengan serangan maut dan kawasan yang mana letupan berlaku berhampiran stesen bas yang juga dihuni masyarakat itu semalam.

Herat ialah bandar ketiga terbesar Afghanistan, terletak berhampiran sempadan Iran, tetapi kekal aman dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP, 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen