PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya susulan langkah penguatkuasaan sekatan Covid-19 diperketatkan bagi menghadapi varian Omicron.
“Majlis perkahwinan saya tidak akan diteruskan,” katanya selepas memperincikan sekatan baharu termasuk had kehadiran 100 orang lengkap vaksin dalam setiap acara.
“Saya baru saja menyertai rakyat New Zealand yang mengalami pengalaman seperti itu akibat pandemik dan kepada sesiapa yang terperangkap dalam senario itu, saya minta maaf.”
Kemunculan sembilan kes Omicron dalam sebuah keluarga yang melakukan perjalanan antara bandar untuk menghadiri majlis perkahwinan dan jangkitan pramugari dalam pesawat memaksa New Zealand mengenakan sekatan “tetapan merah” mulai tengah malam Ahad.
Omicron jauh lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta tetapi kurang berkemungkinan menyebabkan penyakit teruk.
Selain mengehadkan bilangan orang ramai, pelitup muka kini diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam dan di premis perniagaan.
Ardern dan pasangannya, Clarke Gayford tidak pernah mengumumkan tarikh perkahwinan mereka, tetapi dipercayai dijadualkan dalam beberapa minggu akan datang.
Sekatan baharu ditetapkan untuk dikuatkuasakan sehingga sekurang-kurangnya akhir bulan depan.
“Begitulah kehidupan,” kata Ardern ketika ditanya perasaannya mengenai peraturan yang menamatkan perkahwinan dirancang.
“Tiada bezanya saya dan ribuan rakyat New Zealand yang mempunyai kesan lebih dahsyat akibat pandemik dan yang paling menyedihkan ialah ketidakupayaan untuk bersama orang disayangi kadangkala ketika mereka sakit tenat.”
New Zealand merekodkan 15,104 kes jangkitan Covid-19 dengan 52 kematian sejak pandemik bermula. – AFP, 23 Januari, 2022.
Komen