PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tetapi tidak di semua 56 kerusi yang akan dipertandingkan, kata pengerusi parti negeri Dr Shahruddin Md Salleh.
Pejuang hanya akan bertanding di 42 kerusi dengan keutamaan di kawasan majoriti pengundi Melayu, katanya.
“Kita akan memuktamadkan semua nama calon ini ke jawatankuasa pusat parti dalam tempoh terdekat.
“Keutamaan lokasi meletakkan calon Pejuang dinilai berdasarkan majoriti penduduk Melayu di kawasan masing-masing,” katanya seperti dipetik media di Segamat, semalam.
Shahruddin bagaimanapun terbuka sekiranya ada mana-mana parti mahu bekerjasama dengan Pejuang dalam pilihan raya itu nanti.
Tambahnya, Pejuang akan meletakkan calon dalam kalangan belia, wanita, profesional, aktivis badan masyarakat, bekas wakil rakyat, bekas pegawai kerajaan, dan ahli perniagaan.
Pejuang yang diluluskan pendaftarannya pada Julai 2021 sebelum ini tidak bertanding dalam PRN Melaka dan Sarawak kerana menganggapnya mainan politik ketika negara masih bergelut wabak Covid-19.
Pejuang adalah parti serpihan Bersatu yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya selepas krisis dalaman parti susulan percaturan politik Langkah Sheraton.
Kumpulan ini tidak bersetuju dengan keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan di Putrajaya dan beberapa negeri.
Semalam, Sultan Johor berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor atas nasihat Menteri Besar Hasni Mohammad. PRN Johor perlu diadakan dalam masa 60 hari dan tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam sidang medianya Hasni berkata pilihan raya itu perlu diadakan untuk mendapatkan mandat baharu rakyat kerana pentadbirannya “tidak boleh bergantung atas ihsan pembangkang.”
Kerajaan campuran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menguasai DUN Johor dengan kelebihan hanya satu kerusi selepas Adun Kempas Osman Sapian dari Bersatu, yang juga bekas menteri besar, meninggal dunia sebulan yang lalu.
Penganalisis politik bagaimanapun membaca langkah pilihan raya negeri awal ini bertujuan mengukuhkan pengaruh Umno, melemahkan Bersatu serta memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
Pentadbiran Ismail berjanji dengan PH untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum Julai ini melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai 13 September 2021.
Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir 15 Julai 2023. – 23 Januari, 2022.
Komen