Selamat lagikah sekolah untuk anak-anak kita?


ZF Zamir

MALAM itu hujan tidak turun, angin tidak bertiup. Saya sedang membaca buku apabila sebuah mesej melalui WhatsApp masuk. Seorang anak murid mengirim pautan dan bertanya pendapat. Saya tidak membuka pautan itu kerana telah tahu lebih awal, Vasanthapiriya telah pergi, meninggalkan kita terpinga-pinga.

Kita sebagai masyarakat telah gagal secara total untuk menyelamatkan anak muda ini. Lebih dahsyat, trauma itu berlaku di sekolah. Saya tersentak bukan sahaja kerana mangsa adalah anak sekolah berusia 15 tahun. Tetapi, lebih dari itu insiden ini mempersembahkan kepada kita satu persoalan asas iaitu: “Adakah sekolah tidak lagi selamat untuk anak-anak kita?”

Saya tidak menjawab WhatsApp itu kerana berasa tidak mempunyai autoriti untuk memberi pendapat. 

Lebih-lebih lagi, kes ini sedang hangat dibicarakan di Facebook dan Twitter. Masyarakat yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku, sedang berlagak hero dengan menubuhkan mahkamah kanggaru di media sosial.

Tetapi mahkamah kanggaru ini berfungsi dengan begitu baik sekali. Kita semua sebagai masyarakat berasa begitu gembira dengan perbicaraan di media sosial ini. Penjenayah yang sedang kita kecam sedang menerima hukuman. Dan kita semua boleh kembali seperti asal dan berbuat seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini.

Keesokan harinya lebih banyak mesej lewat WhatsApp dan Messenger. Seorang teman rapat menefon pada hujung petang Jumaat dan bertanya: “Bagaimana anak sekolah kita boleh terfikir untuk bunuh diri?”

Soalan ini sekali lagi menyentak saya. “Bagaimana negara kita boleh sampai ke tahap ini hari ini?” saya menyoal diri sendiri.

Cantik atas kertas

Malangnya, semuanya cantik di atas kertas. Kadar kemiskinan negara kita berada pada tahap 0.4%. Untuk sebuah negara membangun seperti Malaysia, kita berjaya membanteras kemiskinan dari 49.3% pada 1970 kepada 0.4% pada 2016. 

Kadar pengangguran kekal pada 3.4% walau ekonomi dunia sedang bergolak. Berdasarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016, sebanyak 2.26 juta pekerjaan telah berjaya dicipta dalam masa enam tahun ke belakang. 

Bahkan laporan itu juga menyatakan kerajaan telah berjaya mengurangkan sumbangan dari hasil berkaitan minyak dan gas daripada 41.3% pada 2009 kepada 14.7% pada 2016, salah satu usaha untuk memastikan negara menuju status berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kadar enrolmen prasekolah kebangsaan meningkat kepada 85.56% pada 2016, berbanding 67% pada 2009, dengan prasekolah kebangsaan mencapai kadar enrolmen hampir penuh bagi kumpulan umur 5 tahun ke atas iaitu sebanyak 92.1%.

Kadar inflasi kita kekal rendah pada 2016 dengan 2.1%. Bahkan purata penurunan tahunan Jenayah Indeks sebanyak 9% membawa kepada pengurangan keseluruhan sebanyak 47% sejak 2009. Pada tahun 2016, kadar Jenayah Indeks turun sebanyak 2.8%, Petunjuk Persepsi Jenayah (Perception of Crime Indicator, PCI) melaporkan penurunan rasa takut di kalangan penduduk Kuala Lumpur terhadap kemungkinan menjadi mangsa jenayah daripada 80% semasa petunjuk diperkenalkan pada tahun 2015 kepada 61% pada tahun 2016. 

Realiti luar kertas

“Bagaimana anak sekolah kita boleh terfikir untuk bunuh diri?”

Saya masih tidak punya jawapan. Kerana saya tidak dapat memahami psikologi anak kecil seperti Vasanthapiriya. Anak-anak sekolah ini sepatutnya sibuk memikirkan mengenai teman sepermainan, kerja sekolah atau perihal kecil seperti makanan dan rancangan televisyen atau selebriti yang mereka minati.

Ini yang kita semua fikirkan sewaktu kita kecil dan membesar sebagai remaja. Kita semua tidak berdepan dengan persoalan berat yang membawa kepada idea buruk seperti membunuh diri. Tetapi kemudian saya sedar satu perkara: zaman yang kita lalui hari ini sangat berlainan.

“Bapa jahat rogol anak sendiri,” lapor Harian Metro pada 9 Januari 2018 dengan laporan “mangsa mula dirogol ketika berusia 12 tahun.” “Bapa setan rogol anak sampai mengandung,” lapor Harian Metro pada 27 Disember 2017 dengan laporan “berdasarkan siasatan anak perempuannya berusia 15 tahun didapati telah mengandung.”

“Rogol, liwat anak 600 kali, 400 tuduhan lagi dibaca esok,” lapor The Malay Mail Online pada 9 Ogos 2017. “Dibuli hingga mati otak, Nhaveen meninggal dunia,” lapor The Malay Mail Online pada 15 Jun 2017. “Komputer riba punca kadet tentera diseksa hingga mati,” lapor The Malaysian Insight pada 3 Jun 2017. 

Malah beberapa minggu sebelum kematian Vasanthapiriya, The Malay Mail Online pada 16 Januari 2018 melaporkan: “Dibaling dari tingkat atas, pelajar maut ditimpa kerusi,” dengan laporan seterusnya pada keesokan hari yang merujuk kepada insiden ini: “rebah kepala terbelah, ibu tadah otak anak bersepai.”

Adakah dasar sosial kita gagal?

Realitinya hari ini, kita sudah tidak lagi terkejut dengan berita seperti bapa rogol anak atau kes buli sampai mati di sekolah. Ia sudah jadi klise dalam pemikiran kita semua sebagai masyarakat. Kerana itulah sebenarnya kita sedang berkembang menjadi masyarakat yang hanya reaktif terhadap isu ini, bukan masyarakat yang berupaya untuk mencegah sebelum ia berlaku.

Buktinya, pada hari sama Vasanthapiriya dilaporkan meninggal dunia, seorang lagi anak kecil bernama Aina Nabihah, 9 tahun juga meninggal dunia dipercayai akibat dipukul bapanya sendiri. Lapor Harian Metro:

“Bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak dan patah tulang rusuk, dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.”

Malah keesokan harinya, MStar melaporkan, “Pakcik Durjana” Hadapi 564 Tuduhan Rogol Anak Saudara dengan laporan: “Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ampang atas 200 pertuduhan melakukan jenayah rogol terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 5 tahun.”

Anak kecil berusia 5 tahun dirogol bapa saudara. Anak berusia 9 tahun dipukul sehingga mati oleh bapa sendiri. Soalan yang sepatut kita bahaskan hari ini bukanlah mengapa anak seperti Vasanthapiriya ini mati tetapi: “Bagaimana negara kita boleh sampai ke tahap ini hari ini?”

Kerana di atas kertas, Malaysia sebuah negara yang cukup cantik. Sebanyak 26.7 juta pelancong melafazkan zikir Malaysia Truly Asia pada 2016. Kita boleh berbangga dengan KLCC dan Putrajaya kerana kita memang bangsa yang menghargai rupa dan bentuk.

Malangnya kita tidak sedar semakin lama kita semakin miskin nilai. Subjek Pendidikan Moral dan Agama di sekolah tidak lagi dapat membentuk masyarakat kita berpegang pada adat dan keperibadian tinggi.

Dasar sosial kita telah runtuh dan hancur sepenuhnya. Apakah perancangan sosial kita menjelang tahun 2020 adalah untuk membina masyarakat yang penuh dengan berita bapa makan anak dan guru bunuh anak murid?

Di manakah kedudukan Dasar Pendidikan Kebangsaan pada hari ini? Apakah usaha Dasar Belia Negara? Bagaimanakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan membentuk masyarakat menjelang 2050? Apakah yang telah berlaku kepada Dasar Buruh Negara, Dasar Perumahan serta Dasar Kebajikan Masyarakat Negara?

Siapakah yang boleh menjawab semua persoalan ini? Kerana saya tidak fikir kematian Vasanthapiriya adalah semata-mata masalah guru, sistem pendidikan atau persoalan psikologi semata-mata.

Kita semua harus dan bertanggungjawab untuk menjawab hari ini: “Adakah sekolah tidak lagi selamat untuk anak-anak kita?” – 6 Februari, 2018.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen